Kompleks Pekan Rabu rintis pembelian tanpa tunai

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Kompleks Perniagaan Pekan Rabu bakal menjadi perintis pembelian tanpa tunai menjelang awal tahun hadapan.

Seramai 300 peniaga di kompleks terbabit akan disasar menggunakan kaedah berkenaan bagi urusan jual beli bersama pelanggan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jumlah peniaga yang menggunakan kaedah itu akan dipertingkatkan menjelang awal 2023.

- Advertisement -

“Setakat ini hanya 10 peratus peniaga di Kompleks Pekan Rabu menggunakan kaedah pembelian tanpa tunai.

“Kita menyasarkan menjelang tahun hadapan 300 peniaga menggunakan kaedah tanpa tunai dalam urusan jual beli,” katanya selepas melawat Kompleks Pekan Rabu petang semalam.

Menurutnya juga kaedah seumpama itu telah dilaksanakan di beberapa pasar awam di negeri lain termasuk Pasar Besar Siti Khadijah di Kota Bharu dan Pasar Payang di Kuala Terengganu.

Kata beliau kerajaan negeri mengalu-alukan kaedah seumpama itu dilaksanakan di Pekan Rabu memandangkan kebanyakan pelanggan luar Kedah sudah biasa dengan konsep pembelian tanpa tunai.

“Inisiatif terbabit sebagai menyahut seruan Kerajaan Persekutuan yang akan mendigitalkan urusan perkhidmatan dan ekonomi negara,” ujarnya.

Tambah beliau terdapat pelbagai transaksi pembayaran boleh digunakan termasuk Jompay, FPX, MyDebit, Duitnow dan DirectDebit, deposit e-dompet, Boost, Grabpay, Food Panda dan Shoppe Pay.

Sanusi juga berkata, banyak kelebihan pembelian tanpa tunai antaranya meningkatkan jualan, pengurusan kewangan dan rekod jual beli lebih teratur. – HARAKAHDAILY 1/3/2022

- Advertisement -