PRN Johor: Kempen Perikatan Nasional secara bersepadu

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

PONTIAN:
Perikatan Nasional melaksanakan kempen secara bersepadu pada Pilihan Raya Negeri (Johor) kali ini.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdullah Husin berkata, jadual kempen telah disusun yang melibatkan parti-parti komponen Perikatan Nasional.

“Alhamdulillah kita telah menyusun jadual yang bersepadu di antara parti-parti dalam Perikatan Nasional. Kempen kita dan gerak kerja kita diselaraskan,” ujarnya kepada Harakahdaily Ketika ditemui di sini.

- Advertisement -

Menurutnya, cara berkempen sudah dirancang dan diputuskan menerusi gabungan tersebut yang disesuaikan di setiap tempat.

“Kita Perikatan Nasional, PAS, Gerakan, Bersatu akan menjalankan kempen melalui jadual-jadual yang telah disusun dan tidak terpisah di antara tiga-tiga parti ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, ini mengambil pengalaman pada PRN Melaka yang belum sempat mengadakan kesepaduan dalam melaksanakan gerak kerja kempen pada waktu itu.

Jelasnya, suasana pada PRN Johor kali ini berbeza kerana wujud jawatankuasa bersama dalam kalangan parti Perikatan Nasional.

“Pengalaman kita di Melaka belum sempat lagi untuk kesepaduan tadi. Kali ini sebab itu ada jawatankuasa Bersama, tidak ada terpisah-pisah,” ujarnya yang bertanding di DUN Pulai Sebatang.

Tambahnya lagi, kesepaduan Perikatan Nasional lebih jelas lagi melalui manifesto yang akan dilancarkan nanti.

“Yang kedua akan diadakan pelancaran manifesto dalam masa terdekat, dengan ada manifesto itu akan lebih jelas lagi kita punya perkara-perkara yang ingin kita sampaikan kepada pengundi-pengundi.

“Ada perkara yang bersifat universal, ada perkara yang asas dan tempatan. Macam kita di Pulai Sebatang ini kita boleh fokus kepada nelayan, orang asal, petani, isu yang melibatkan banjir, dan sebagainya,” katanya.

Beliau menambah, ia juga mengikut suasana di sesuatu DUN yang mungkin ada perubahan berdasarkan respons pengundi.

“Jadi perkara ini akan dilaksanakan dan melihat kepada suasana perkembangan. Mungkin ada perubahan sikit melihat pada respons pengundi dan mungkin ada isu-isu yang meletup mungkin akan dihadapi dengan spontanlah.

“Walau bagaimanapun, semua melalui perbincangan ketiga-tiga parti, jadi kita lihat setakat ini alhamdulillah perkembangan cukup baik berjalan lancer,” ujarnya.

Menurutnya, suasana PRN Melaka tidak boleh menjadi ukuran pilihan raya umum kerana golongan kali pertama mengundi atau undi 18 belum wujud.

“Kalau kita sebut di Melaka belum jadi ukuran untuk pilihan raya umum tapi yang Johor ini boleh jadikan ukuran terutamanya first time voters.

“Sebab di Melaka belum sempat lagi, jadi ini satu cabaran yang berat untuk kita,” ujarnya lagi.

Menurut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi berusia 18 hingga 20 tahun di DUN Pualu Sebatang ialah 1,404 lelaki dan 1,296 perempuan daripada 46,991 jumlah pengundi.

SPR menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 27/2/2022

- Advertisement -