Oleh EVA NATASHA SADALI
PAGOH: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz meletakkan keyakinan bahawa arus politik baharu negara kini lebih terarah kepada calon atau parti yang mampu menyelesaikan isu utama dalam politik negara.
Ini terutamanya gejala politik tidak sihat membabitkan isu rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pemimpin negara.
Katanya, pengundi muda melihat calon yang mampu memberikan mereka harapan bagi meletakkan golongan itu pada kedudukan terbaik dari segi ekonomi.
“Anak muda melihat calon yang mampu memberikan mereka harapan untuk mereka mendapatkan tempat kedudukan terbaik dalam mengejar cara hidup terbaik terutama sekali dari sudut ekonomi kerana kita berdepan kesukaran mencari kerja dan sebagainya,” katanya di sini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok yakin bahawa rakyat Johor dapat menilai prestasi yang telah ditunjukkan kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, terutamanya sumbangan diberikan di peringkat kerajaan pusat daripada PAS.
“Kita yakin bahawa ini adalah peluang terbaik untuk kita memberikan tawaran serta khidmat terbaik daripada PAS dan PN kepada rakyat Johor.
“Walaupun kita tahu bahawa PN ini adalah kali kedua bertanding dalam PRN selepas PRN Melaka tetapi nama PN sudah amat dikenali kerana kita pernah ada kerajaan dulu atas nama kerajaan PN dan kini kita masih dalam kerajaan pusat.
“Harapan kita untuk Bukit Pasir ini calon kita adalah Ketua Pemuda (Johor), kali kedua beliau masuk bertanding dalam PRN.
“Maksudnya masyarakat di sini dah mengenali beliau sebagai anak muda yang telah lama berkhidmat dan berjuang untuk perjuangan anak muda di tanah setempat di Bukit Pasir,” katanya yang mengiringi calon Perikatan Nasional bagi DUN Bukit Pasir, Nur Iqbal Razak, semalam. Mohamad Noor Md Top selaku pencadang kepada Nur Iqbal manakal Mohd Khairul Rizal Khirudin sebagai penyokong.
Dalam masa yang sama, beliau mengharapkan agar calon yang bertanding di DUN tersebut dapat memberi alternatif yang terbaik untuk golongan berkenaan agar dapat melihat inspirasi dan aspirasi mereka dipenuhi.
Sehubungan itu, Nik Abduh turut mengharapkan supaya proses berkempen sepanjang PRN Johor berjalan dengan baik dan lancar.
“Kita ucapkan selamat mengharungi kempen pilihan raya, semoga kempen PRN Johor ini berjalan dengan lancar.
“Tidak ada sebarang kekacauan dan provokasi yang tidak eloklah daripada semua parti,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/2/2022