Mengulang sejarah kemenangan 2004 di Senggarang

- Advertisement -

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

TAHUN
2004 adalah tahun sejarah buat PAS Johor, dimana Dr Ramli Kari memecah ruyung memulakan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang buat pertama kalinya mewakili PAS di Dewan Undangan Negeri Johor.

Walaupun ramai yang mengingatkan ia kemenangan secara teknikaliti, namun takdir Allah kurniakan kemenangan dan selepas itu pada tahun 2008, dua kerusi bertambah kepada PAS di Johor iaitu di Sungai Abong dan Maharani.

Dan kemudiannya pada Pilihan Raya Umum (PRU13) empat DUN dimenangi PAS di Sungai Abong, Maharani, Puteri Wangsa dan Parit Yaani.

- Advertisement -

Pun begitu ADUN Parit Yaani, Cikgu Aminolhuda Hassan bertindak menyeberang ke Amanah selepas krisis 2015.

Di Senggarang pula, PAS tidak menang selepas 2004, di mana PRU 12 dan 13, kerusi ini kembali ke tangan BN dan PRU-14 pula Pakatan Harapan menang di Senggarang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Ir Khairudin Rahim menang dengan jumlah Undi 10,568 menegaskan calon BN, Zaidi Japar 9,759 undi dan PAS Dr Mohd Ramli Kari 2699 undi di mana majoriti kemenangan Ir Khairudin wakil PH ketika itu adalah 809 undi.

Saingan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N24 Senggarang bagi PRN Johor- kali ini menyaksikan lima penjuru dimana calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Faizi Ahmad Kamil berdepan Mohd Yusla (BN), Abd Hamid Jamah (Amanah), Zalihah Jaffar (Pejuang) dan Baharudin (Bebas).

Melihat kepada senario semasa, PAS melalui Perikatan Nasional (PN) masih memiliki kekuatan untuk mencipta semula sejarah kemenangan di Dun Senggarang.

Apatah lagi calon PN (PAS) di Senggarang, Khairul Faizi Ahmad Kamil memiliki pengalaman luas dalam lapangan kebajikan masyarakat dan urustadbir organisasi serta korporat.

Penolong Setiausaha Agung PAS ini bergraduat dalam Sarjana Muda Sains Politik, punyai pengalaman dalam misi-misi khidmat kepada rakyat apatah lagi beliau adalah Ketua Pengarah Khidmat Malaysia satu organisasi yang bertanggunjawab mengurus misi kemanusiaan, kebajikan dan bencana yang mana terbukti memberi khidmat terbaik semasa banjir melanda negara dan pandemik Covid-19.

Malah pemimpin versatile ini yang rapat hubungan dengan masyarakat pelbagai kaum. Khairul Faizi punyai hubungan baik dengan masyarakat Melayu di sini.

Kelibatnya tidak asing, malah di kedai-kedai kopi, di surau dan kampung kehadirannya tidak langsung dirasakan asing.

Bak kata Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, beliau sempat bergerak ke beberapa kampung di Senggarang, sambutan kepada Khairul Faizi amat baik sekali.

Bagi Khairul Faizi sendiri, sebaik menerima watikah sebagai calon Senggarang, beliau tidak merasakan kekok dengan keadaan di Dun ini meskipun sebelum ini beliau bertanding empat kali di Dun yang lain.

Anak jati Johor ini melihat keistimewaan masyarakat di Senggarang yang amat mesra dengan beliau sebagai satu jalan untuk beliau meneruskan kempen dengan lebih mendekati ketua-ketua kampung, anak muda, golongan veteran dan wanita yang pastinya boleh memberi kesan yang baik khasnya dalam meraik sokongan, apatah lagi beliau sendiri sangat familiar di sini.

“Saya dengar mereka sendiri tidak menyatakan bahawa saya sebagai asing di sini, malah setiap tempat yang saya turun dan bertemu dengan ketua-ketua kampung, mereka kenal dan menghargai saya, maknanya saya tidak asing di sini,” kata beliau semasa sembang santai dengan penulis sebelum ke pusat penamaan calon di Dewan Sri Intan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat pada 26 Februari.

Beliau juga mengharapkan agar sejarah kemenangan calon PAS di Senggarang pada tahun 2004 bakal diulangi olehnya dalam PRN 2022 dengan rakyat memberi keyakinan PN mampu mengangkat suara mereka.

Apatah lagi dalam keadaan parti dalam PH berselisih faham dan saling tidak sepakat, dan BN yang terus dipalitkan dengan isu Kluster Mahkamah, maka rakyat negeri Johor amnya dan Senggarang khasnya mempunyai pilihan yang lebih baik iaitu calon PN mewakili mereka dalam semangat Bangsa Johor mahukan perubahan.

Mungkin 12 Mac ini menjadi satu lagi tarikh keramat bukan sahaja kepada PN, namun tarikh manis kepada Khairul Faizi menang di Senggarang selepas lima kali menjadi calon mewakili parti PAS dan kini dalam gabungan PN. – HARAKAHDAILY 26/2/2022

- Advertisement -