TH kembali utuh bawah pasukan Menteri Agama

- Advertisement -

SEMALAM merupakan pengumuman Agihan Keuntungan Tabung Haji bagi tahun 2021. Tabung Haji (TH) mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan keuntungan sebanyak RM2.46 bilion. 

Ini menyaksikan Kadar Agihan Tabung Haji 2021 kepada 8.4 juta pendepositnya adalah sebanyak 3.1 peratus iaitu sama dengan kadar agihan pada 2020.

- Advertisement -

Meskipun dihimpit dengan cabaran ekonomi pasca COVID-19, TH masih mampu mencatat kadar agihan 3.1 peratus. Perkara ini disifatkan sebagai prestasi terbaik yang boleh dijangkakan sepertimana dinyatakan pakar ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof Dr Barjoyai Bardai.

Agihan Keuntungan 3.1 peratus juga adalah selepas mengambil kira zakat yang akan dilunaskan sebanyak RM170 juta. Zakat hasil pendapatan TH telah memberi manfaat kepada hampir 200,000 asnaf sepanjang 2021. Perkara ini adalah bukti jelas jasa dan besarnya peranan TH untuk umat Islam di Malaysia.

Rekod yang amat baik ini sudah tentu tidak akan tercapai jika tidak berkat usaha mantan Menteri, YB Senator Dr Zulkifli yang kini disambung YB Menteri, Senator Dato’ Idris Ahmad serta Timbalan Menteri, YB Dato’ Ustaz Ahmad Marzuk yang telah menyusun atur beberapa langkah penting dalam hala tuju baharu TH.

Antara langkah yang memberi impak besar kepada penstrukturan TH adalah seperti berikut:

i. Mempercepatkan penubuhan RCI bagi TH. Langkah ini amat penting dalam menguruskan beberapa isu salah tadbir kewangan melanda pengurusan TH. Implikasi yang dapat dilihat adalah keyakinan para pendeposit untuk terus kekal bersama TH berjaya dilaksanakan dengan cemerlang.

Meskipun Laporan Kewangan TH 2019 menyatakan tidak ada masalah salah laku semenjak 2018. Namun RCI tetap diteruskan kerana laporan dikeluarkan hanyalah membuktikan laporan TH 2019 menepati standard perakaunan negara sepertimana tahun-tahun sebelumnya. Teguran Ketua Audit Negara berkenaan kemampuan UJSB membayar sukuk (yang tidak dijamin kerajaan) sebanyak RM27.56 bilion dalam tempoh ditetapkan masih tiada jalan penyelesaian. 

Oleh sebab itu penubuhan RCI yang banyak digerakkan oleh YB Timbalan Menteri dilihat langkah yang konsisten dengan desakan yang pernah dilaung PAS sewaktu menjadi pembangkang.

ii. Pengenalan THijari Biz. THijari Biz adalah sistem baharu dalam TH yang berfungsi memudahkan urusan pendeposit apabila urusan pemotongan gaji secara atas digital. 

Segala urusan potongan gaji oleh pendeposit sebelum ini memakan masa yang amat panjang. Pengenalan THijari Biz ini memberi nilai tambah dalam penggunaan teknologi digital bagi pengurusan transaksi di TH.

iii. TH sebagai aset ummah. Beberapa langkah yang dilihat tidak mengambil kira TH sebagai badan kewangan umat Islam amat dititikberatkan. Contohnya sewaktu timbul berita pelantikan profesional bukan-Islam sebagai Pengurus Besar sebuah hotel TH, dengan political will bagi memastikan urus tadbir terjamin dari sudut kepatuhan syariah dan sensitiviti umat Islam oleh pihak YB Menteri, cadangan tersebut telah ditolak menerusi Lembaga Pengarah TH.

Senator Idris juga memberi jaminan, langkah menjual aset-aset TH yang digerakkan SPV oleh pentadbiran dahulu telah dihentikan. Antara aset yang berjaya dihalang daripada dijual termasuklah termasuk empat hotel di lokasi strategik yang ingin dipindah milik serta 6,000 hektar ladang kelapa sawit milik anak syarikat Tabung Haji.

Begitulah sebahagian usaha pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam menjaga kedudukan aset umah TH. Inilah manifestasi apabila amanah dijalankan sebaik-baiknya.

Semoga Tabung Haji terus mara dan maju dalam menjadi teras kekuatan ekonomi umat Islam di Malaysia.

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 25/2/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/430665967118189/posts/1896926930492078/

- Advertisement -