Putin umum operasi tentera, PBB rayu hentikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung telah mengumumkan keputusan Moscow melaksanakan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas, timur Ukraine, hari ini.

Menurutnya matlamat operasi itu adalah demi melindungi rakyat yang dianiayai daripada pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Kyiv selama lapan tahun, lapor Bernama dari laporan agensi Anadolu memetik agensi berita TASS.

- Advertisement -

Pejabat Presiden (Kremlin) memaklumkan, pemimpin puak pemisah di timur Ukraine sebelum ini telah meminta bantuan Putin untuk menyekat pencerobohan tentera Ukraine, semalam.

Putin pada Isnin lalu mengumumkan Moscow mengiktiraf ‘kemerdekaan’ dua wilayah di timur Ukraine iaitu Luhansk dan Donetsk, termasuk menghantar pasukan untuk ‘mengekalkan keamanan’ di sana.

Tindakan itu mendapat kecaman global serta disifatkan melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan perundangan antarabangsa, malah negara-negara Barat turut mengumumkan sekatan baharu ke atas Rusia.

Selepas menyerang Semenanjung Crimea pada 2014, Moscow mula menyokong puak pemisah di timur Ukraine menentang Kerajaan Pusat, satu dasar yang dikekalkan sejak itu di mana konflik itu telah meragut lebih 13,000 nyawa, menurut PBB.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pada pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB merayu Putin agar tidak menyerang Ukraine, sebaliknya memberikan peluang kepada keamanan, kerana terlalu ramai sudah kehilangan nyawa.

Sementara itu, Setiausaha bagi Hal Ehwal Politik dan Pembangunan Keamanan PBB, Rosemary DiCarlo berkata, semua langkah perlu mesti diambil demi menjamin keamanan.

“Kami tidak dapat ramalkan apa akan berlaku dalam tempoh beberapa jam lagi dan beberapa hari akan datang di Ukraine. Penderitaan manusia dan kemusnahan semakin meningkat.

“Rakyat Ukraine dambakan keamanan, dan saya pasti rakyat Rusia turut berkongsi perasaan yang sama,” kata DiCarlo dilapor agensi Anadolu di Washington, Amerika Syarikat semalam.

Susulan pengumuman Putin, beberapa siri letupan kuat telah dilapor menggegarkan ibu negara Ukraine, Kyiv dan bandar Kramatorsk, juga dilaporkan berlaku di bandar Kharkiv, Mariupol, Mykolaiv dan Odessa.

Bandar Kramatorsk kini menjadi tumpuan media asing untuk mengikuti perkembangan terkini di wilayah itu di mana menurut pihak berkuasa tempatan Ukraine, ‘serangan sudah bermula,’ dan letupan itu didakwa berpunca daripada ‘serangan peluru berpandu’.

Setakat ini, tiada butiran lanjut mengenai kematian dan kecederaan akibat letupan itu dan kenyataan rasmi mengenai penempatan tentera Rusia di wilayah yang dikawal puak pemisah pro-Rusia masih belum diperoleh. – BERNAMA

- Advertisement -