Bersabar dengan musibah yang menimpa

- Advertisement -

{ یَـٰبُنَیَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأۡمُرۡ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَٱنۡهَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَاۤ أَصَابَكَۖ إِنَّ ذَ ٰ⁠لِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ }

“… dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.”

(Luqman: 17)

- Advertisement -

Ayat ini merupakan sebahagian nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya.

Kata Imam As Sa`di, ia adalah kesinambungan yang menjadi pelengkap dalam usaha membuat perkara ma`ruf dan mencegah kemungkaran. Sudah tentu akan berlaku kepayahan dalam usaha untuk merealisasikan perintah tersebut, maka hendaklah bersabar dalam menyempurnakannya.

Manakala menurut Imam Tantawi dalam Al Wasit menyebutkan, musibah bererti kesukaran. Kerana hidup ini sarat dengan pelbagai mehnah dan tribulasi, adapun kerehatan hanya di dalam syurga kelak. Hal yang sama juga dimaksudkan oleh Imam Al Baghawi.

Imam Ibnu Kathir menyebutkan perihal yang sama dengan Imam As Sa`di, kemudian ditambah dengan ucapan, “Sabar terhadap kejahatan manusia termasuk dalam satu keazaman yang sangat diperlukan”.

Imam Al-Qurtubi ketika memberi komentar terhadap ayat ini, dirasakan amat dekat dengan apa yang sedang menimpa sebahagian besar dari kita pada hari ini. 

Kata beliau, “Perintah bersabar terhadap musibah yang menimpa merupakan penegasan dalam usaha mencegah kemungkaran sekalipun akan memberi mudarat kepada kita. Seakan-akan sudah menjadi satu kemestian, bagi mereka yang menegur perkara buruk akan disakiti. Tetapi bukanlah semestinya demikian, kerana semuanya tetap dengan izin Allah.”

Imam Ibnu Asyur dalam pandangannya menyebutkan terlebih dahulu maksud sabar. Kata beliau, sabar bererti seseorang menanggung akan perkara yang menyakitkan atau menyedihkan. Ia dijelaskan dalam ayat 45 surah Al Baqarah yang bermaksud:

“Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat”.

Adapun dari satu aspek yang umum, bersabar dengan musibah bermaksud bersabar dengan segala kepayahan di dunia seperti sakit dan lain-lain. Dengan syarat bukan dalam perkara maksiat kepada Allah.

Secara keseluruhannya, perintah bersabar terhadap musibah amat berkait dengan komitmen melaksanakan amar makruf dan nahi munkar.

Semoga mereka yang ditimpa musibah diberikan kekuatan untuk mengharunginya dengan kekentalan dan kebaikan.

Berdoa seperti yang diajar oleh Baginda S.A.W:

اللهُمَّ أْجرْه فِي مُصِيبَتِه وَأَخْلِفْ لِه خَيْرًا مِنْهَا

“Ya Allah, kurniakanlah kepadanya ganjaran atas musibahnya dan gantikanlah yang lebih baik daripadanya.”

[Riwayat Muslim (918)]

USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 18/2/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1222987424/posts/10227233959774466/

- Advertisement -