Tabung Haji: Institusi Islam mesti dijaga sebaik-baiknya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) adalah sebuah institusi Islam yang mesti dijaga dengan sebaik-baiknya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.

Sehubungan itu, beliau sentiasa berpesan kepada Pengerusi TH perlu memperbanyakkan program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat dalam ruang kapasiti yang Tabung Haji mampu.

“Semoga ianya menghadirkan barakah dan rezeki melimpah ruah kepada Tabung Haji,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Perdana Serahan Van Program Mobiliti TH di Dewan Besar, Menara TH Tun Razak, di sini, hari ini. Turut hadir ialah Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin.

- Advertisement -

Menurutnya, beliau juga dimaklumkan selain Program Mobiliti, TH turut melaksanakan program-program zakat lain seperti program ehsan, ikhtiar dan a’fiat.

Katanya, pada tahun 2021 sahaja, TH telah memperuntukkan sebanyak lebih RM19 juta wang zakat untuk pelaksanaan program-program itu.

“Saya doakan semoga TH terus istiqomah dalam meneruskan usaha membantu dan menyantuni seramai mana asnaf yang memerlukan selaras dengan konsep Keluarga Malaysia,” katanya.

Tambahan pula bulan Ramadan semakin menjelma, beliau mahu Tabung Haji dapat merangka program CSR khusus sepanjang bulan itu nanti.

Beliau berharap semoga umat Islam akan terus merasai keberadaan Tabung Haji sebagai sebuah institusi yang berkhidmat kepada masyarakat.

Justeru, beliau menyeru lebih banyak syarikat korporat dan swasta untuk mengikut langkah TH dan turut serta membantu masjid dan surau- surau terutama di kawasan luar bandar dan juga rumah-rumah kebajikan yang memerlukan.

“Saya yakin bantuan-bantuan yang diberikan akan membolehkan para penerima melaksanakan aktiviti- aktiviti mereka dengan lebih lancar, insya-Allah,” katanya.

Idris turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada TH atas pelaksanaan program mobiliti dan berharap usaha murni itu menjadi contoh kepada pihak lain dan diteruskan pada masa-masa akan datang.

“Saya berdoa agar usaha yang dilakukan oleh TH ini akan diberi kemudahan dan diberkati oleh Allah SWT dan semoga usaha-usaha baik ini akan diteruskan serta diberikan ganjaran sebaiknya, insya-Allah,” ujarnya lagi.

Pada majlis itu, TH menyumbangkan van kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim/Miskin Dahikmah, Gopeng; Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim dan Warga Miskin, Parit; Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Iman, Perak; Pusat Jagaan Bengkel Seri Sembilan, Negeri Sembilan dan Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan, Negeri Sembilan. – HARAKAHDAILY 14/2/2022

- Advertisement -