Perkembangan keadaan Covid-19 global

- Advertisement -

Gelombang baharu Covid-19 lemahkan keupayaan Hong Kong

Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam, menyifatkan jangkitan Covid-19 di hab kewangan global itu memberi pukulan berat dan melemahkan keupayaan wilayah pentadbiran khas itu menangani pandemik itu berikutan kenaikan mendadak kes harian.

Jangkitan harian meningkat 13 kali ganda lebih tinggi, berbanding dua minggu lalu, iaitu daripada hanya 100 kes pada permulaan bulan ini kepada lebih 1,300 kes pada 13 Februari. Ini menyebabkan pihak berkuasa berdepan kesukaran mengawal penularan wabak itu.

- Advertisement -

Pakar perubatan memberi amaran bahawa kes akan meningkat kepada 28,000 kes sehari pada akhir Mac ini dengan kebimbangan utama ialah golongan warga emas yang tidak divaksin.

122 kematian dilaporkan di Mexico

Kementerian Kesihatan Mexico melaporkan 122 kematian akibat Covid-19 dan 8,854 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kematian seramai 312,819 orang, manakala jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 5,292,706 kes sejak pandemik bermula.

Brazil catat lebih 50,000 kes baharu

Kementerian Kesihatan Brazil menyatakan bahawa negara itu mencatat sebanyak 54,220 kes baharu dan 314 kematian akibat Covid-19.

Jumlah itu menjadikan negara Amerika Selatan itu mencatatkan 638,362 kematian dan 27,479,963 kes baharu sejak pandemik bermula dua tahun lalu.

Polis Kanada suraikan demonstrasi bantah sekatan Covid-19

Polis Kanada bertindak menyuraikan dan menahan penunjuk perasaan berhampiran sempadan Amerika Syarikat-Kanada yang sibuk, sekali gus menamatkan demontrasi menentang sekatan Covid-19 yang menjejaskan ekonomi kedua-dua negara.

Demonstrasi di Ottawa pula melumpuhkan aktiviti di pusat bandar dan menimbulkan kemarahan kepada penduduk yang bosan kerana polis tidak bertindak. Ini juga memberikan tekanan terhadap Perdana Menteri, Justin Trudeau.

Perancis lapor 3,305 pesakit jalani rawatan rapi

Seramai 3,305 pesakit Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi, berkurangan sebanyak 19 kes. Sebanyak 21 juta kes dan 134,000 kematian dilaporkan di Perancis sejak pandemik bermula. – TRTWorld

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -