Oleh FAIZAH ARBAIN
SANDAKAN: Keputusan kerajaan untuk mewujudkan jawatan tetap tambahan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melibatkan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi yang akan diwujudkan dalam tempoh 2022-2025 disambut baik pelbagai pihak.
Adun lantikan Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, keputusan itu langkah tepat memandangkan Malaysia mempunyai bilangan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi yang jauh ketinggalan dibandingkan dengan negara-negara berpendapatan sederhana tinggi (OECD).
Menurutnya pada 2018 Malaysia mempunyai sejumlah 18.88 orang pegawai perubatan bagi setiap 10,000 penduduk.
“Angka itu jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan purata di negara-negara berpendapatan sederhana tinggi (21.52) dan negara-negara OECD (38.64).
“Bagi pegawai pergigian pula, Malaysia mencatatkan sejumlah 2.99 orang pegawai pergigian bagi setiap 10,000 penduduk manakala purata bagi negara berpendapatan sederhana tinggi dan negara-negara OECD masing-masing pada 4.11 dan 7.61.
“Perbandingan yang sama bagi pegawai farmasi melaporkan angka 4.14 bagi Malaysia, 5.80 bagi negara berpendapatan sederhana tinggi dan 9.56 bagi negara-negara OECD,” katanya di sini.
Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin mengumumkan sejumlah 8,686 lantikan bagi perjawatan tetap tambahan di Kementerian Kesihatan Malaysia akan dilantik.
Dr Aliakbar yang juga Setiausaha PAS Sabah berkata, perbandingan yang dibuat antara keseluruhan negeri-negeri di Malaysia menunjukkan Sabah mempunyai bilangan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi paling rendah di Malaysia.
Jelasnya ketidakseimbangan geografi penempatan pegawai-pegawai tersebut berlaku atas pelbagai faktor dan perhatian perlu diberi kepada Sabah yang menghadapi pelbagai cabaran dari sudut kesihatan.
“Ini termasuk kawalan penyakit berjangkit yang menyaksikan Sabah melaporkan wabak polio pada 2019 dengan kemunculan kes polio pertama di Malaysia sejak 1992 meski pun Malaysia diisytiharkan bebas polio pada tahun 2000,” ujarnya.
Oleh itu beliau berharap pelaksanaan tambahan jawatan tetap di KKM dilaksanakan sebaik mungkin dengan mewujudkan satu mekanisme untuk memastikan perkara itu menjadi kenyataan. – HARAKAHDAILY 12/2/2022