PRN Johor: ‘Anggaran kerusi sudah ada’

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

MARANG:
PAS menegaskan akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan atas komponen Perikatan Nasional (PN).

Presidennya, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut dengan PAS Johor terlebih dahulu.

- Advertisement -

“Anggaran kerusi sudah ada, kita akan dengar maklumat daripada PAS Johor dan PAS Pusat akan menilai, akan turun ke bawah kawasan, yang patut kita bertanding.

“Itu perlu dibincang dengan rakan-rakan kita. Bagaimanapun, jumlah kerusi perlu dibincang dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN),” ujarnya kepada media selepas menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.

Berkaitan calon-calon yang akan ditampilkan PAS dalam PRN Johor, Ahli Parlimen Marang itu berkata, seorang yang adil, tidak fasiq, berpengetahuan di samping dapat menjalankan amanah sebagai pemimpin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 11/2/2022

- Advertisement -