Gabungan parti Melayu bukan untuk ‘lebih perkauman’

Bergerak mengikut Perlembagaan dan menjamin hak semua rakyat pelbagai kaum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan PAS, Umno dan BERSATU bukan untuk meningkatkan perkauman ultra Melayu-Islam, tetapi ke arah meneguhkan kembali Malaysia mengikut Perlembagaan Persekutuan yang sama sekali tidak akan menzalimi kaum lain.

Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin menegaskan, sebaliknya pihak-pihak yang bergabung atau melakukan tindakan bertentangan daripada Perlembagaan Persekutuan sepatutnya dinyatakan sebagai perkauman atau rasis.

- Advertisement -

Akuinya, beliau menjiwai kekhuatiran yang wujud dalam kaum bukan-Melayu mengenai perkara tersebut, tetapi ia disebabkan oleh maklumat sebenar tidak sampai selain persepsi dimainkan oleh pelbagai pihak memburukkan isu.

PAS jelasnya juga, sentiasa berpegang kepada radar Islam di mana dengan itu memberi jaminan bahawa sentiasa memberi keadilan kepada semua tanpa ada mana-mana rakyat negara ini akan tertindas atau dizalimi.

“Apabila kita kata ‘Demi Islam!’ dan ‘PAS Untuk Semua’, (maka) PAS berpegang kepada satu radar. Saya rasa bangsa lain contohnya kaum Tionghua, diapun ada radar dia; agama Buddha dia. Kawan kita daripada (kaum) India pun dia ada agamanya. 

“Jadi kita menghormati agama masing-masing, itu termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Islam sebagai Agama Persekutuan, dan tidak menghalang ritual kepada agama-agama lain.

“PAS, dasarnya itu maknanya kita mengambil pendekatan Islam itu adalah radar kami. Dan pada kami Islam itu adalah satu rahmat kepada seluruh alam ataupun memberi keadilan kepada semua,” terangnya ditemubual dalam wawancara bersama Penganalisis Massa, Feng Ren Guan baru-baru ini.

Beliau memberi contoh minoriti kaum Cina dan Siam tidak pernah dizalimi pemerintahan Kerajaan PAS Kelantan sejak lebih 30 tahun, selain ketika tragedi 13 Mei 1969 mereka juga selamat di Kelantan dan Terengganu iaitu negeri majoriti Melayu-Islam.

“Tetapi apakah hanya dengan kita meletakkan Islam sebagai slogan, maka kita terpengaruh dengan budaya Islamofobia yang berada di negara Barat? Ini masalah rakyat kita. Sedangkan dengan Islam itulah kita mendapat kemerdekaan. Perjuangannya bersifat kemerdekaan. 

“Kalau kita mendapat kemerdekaan kerana (perjuangan) Nasionalisme, kenapa Islam diletakkan sebagai Agama Persekutuan pada Perkara 3(1) kan? Kenapa tak diletakkan (atau) tak ada perkataan itu (Melayu)? Menunjukkan Islam pada waktu itu telahpun memberikan keadilan,” perinci beliau.

Demikian itu tegas beliau, dengan berpegang kepada Islam itu tidak akan menzalimi pihak lain, bahkan menjamin tidak ada paksaan untuk pihak lain menganut Islam, sebaliknya mengajak kepada integriti dan seumpamanya.

Pun begitu beliau mengakui terdapat individu tertentu dalam gabungan itu yang bernada seperti perkauman, tetapi disifatkannya dengan perumpamaan bahawa di dalam setandan pisang tidak semuanya baik dan sentiasa berbeza.

Beliau juga mengajak semua pihak menyedari bahawa pemimpin politik juga manusia yang tidak lari dari kesilapan di mana mengharapkan para pemimpin berkenaan juga perlu peka dan belajar terhadap sensitiviti rakyat majmuk.

Lantaran itu katanya, PAS sendiri sentiasa mengadakan dialog dengan pelbagai pihak dan kaum sehingga mampu mempunyai sayap bukan-Islam iaitu Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dianggotai oleh pelbagai kaum.

“Jadi saya sekali lagi ulang, PAS mengambil Islam sebagai radar. Sebab Islam ini for your information pernah administrate 1,000 tahun dunia ini dan tiga perempat dunia diperintah oleh Islam, diberikan keadilan kepada orang yang berada di bawahnya.

“Di zaman kegelapan Eropah, Islam (sebaliknya) bangun. Jadi tak salah kami mengambil Islam sebagai radar. Cuma persepsi demi persepsi negatif yang dibawa oleh mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab. 

“Yang mengatakan bila kita berpegang kepada Islam, kita akan menzalimi ataupun tidak memberikan keadilan kepada bangsa lain. It is a totally wrong punya argument,” ujarnya terus memberi pencerahan. 

Pegang Perlembagaan, bukan retorik

Tegasnya lagi, dengan PAS berpegang kepada Islam, ia sama sekali tidak menjadi parti ekstrem, bahkan juga sentiasa bergerak selari kerangka Perlembagaan Persekutuan di mana turut menjamin hak penganut agama lain.

Tetapi katanya, beliau juga menyedari bahawa dalam dunia politik dan keadaan kerajaan tidak stabil, salah tafsir kepada kenyataan dikeluarkan sentiasa berlaku oleh pengamal ‘political animal’ kerana mengambil pendekatan Machiavelli.

Malah ujar Khairil, ketika terdapat pihak yang mempertikaikan mengenai kerakyatan bangsa lain, beliau kembali kepada asas penerimaan secara Jus Soli dahulunya dan turut bersama menuntut kemerdekaan serta diterima kaum lain sebagai warganegara, bukannya pendatang.

When I said that statement, orang Cina setuju, suka, orang India open question, bagus. Orang Melayu pula akan mengatakan saya ini telah semakin tidak Melayu. Kalau orang yang very genuine dalam politik, yang memahami kita hidup dalam masyarakat majmuk, akan mengatakan statement saya itu betul. 

“Tapi orang yang mencari salah, orang akan kaitkan PAS sebagai parti rasis, dia akan mengatakan PAS semakin hilang Melayunya, semakin hilang Nasionalisnya. Sedangkan apa yang saya cakap adalah benda yang bersifat sejarah. 

“Jadi sebab itu saya nampak problem kepada kami ialah penetrasi ucapan kami kepada kawan-kawan kita yang bukan-Melayu, banyak kawan-kawan kita yang bukan-Melayu hanya mendapat maklumat yang salah tentang kami (PAS),” kesali beliau.

Tambahnya lagi, jika penggabungan PAS, Umno dan BERSATU merupakan mimpi ngeri kepada bukan-Melayu, ia persepsi yang silap kerana hampir 60 tahun Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan ianya juga kerajaan Melayu dan tidak rasis.

Malah katanya, bersama mereka juga parti-parti kaum lain iaitu MCA dan MIC di mana hal sama juga pada kerajaan kini Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai sama oleh parti bukan-Melayu lain menerima penyatuan kini.

Beliau turut menyangkal bahawa agenda ‘Penyatuan Ummah’ yang dislogankan merupakan satu retorik, sebaliknya menegaskan ianya membawa perjuangan menurut kerangka Perlembagaan.

“Jadi, Penyatuan Melayu yang kami maksudkan ini termaktub di dalam Perlembagaan. Maknanya perkara-perkara contohnya Perkara 153 ialah perkara yang protected by Perlembagaan. 

“Dan kita kena own the Perlembagaan, walaupun ia berlaku lama dah daripada kemerdekaan sehingga kini, tetapi Perlembagaan tetap Perlembagaan. Itu adalah satu radar kita bila kita administrate the country. Jadi, tidak nampak itu satu retorik.

“Keduanya, memang terbukti pengundi Melayu lebih ramai daripada pengundi bukan-Melayu, kan? Dekat 70 peratus pengundi Melayu dalam negara ini. Jadi, kalau kita tidak berjuang kepada kaum yang dominan, kita nak berjuang untuk siapa, kan? 

“Jadi pastinya, macam saya kata tadi, kita akan memperjuangkan Melayu, tetapi ia mesti berteraskan kepada Perlembagaan. Dan saya yakin kawan-kawan kita yakin yang Perlembagaan itu menjadi shield ataupun protectionkepada mereka.

“Walaupun satu masa esok, orang Cina, orang India akan menjadi 10 percent saja dalam negara ini, they also will be protected, sebab kita memegang Perlembagaan. Pada saya, mereka yang rasis adalah mereka yang berjuang luar daripada kerangka Perlembagaan. 

“Sama ada Melayu, Cina, India ataupun bangsa lain kalau mereka demand perkara yang tidak ada dalam Perlembagaan, merekalah rasis,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 11/2/2022

- Advertisement -