‘Kita perlu rasai jerih payah penghantar makanan’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu merasai jerih payah kumpulan pemandu dan penghantar makanan (food rider), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata, mereka ada ibu, ayah, anak-anak, suami dan isteri yang perlu ditanggung.

“Mereka mengusahakan yang terbaik untuk kita, maka pulanglah dengan yang paling terbaik untuk mereka,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, semalam.

- Advertisement -

Menurut beliau, hatinya menjadi sayu apabila diberitahu mengenai kesukaran yang sedang dihadapi oleh mereka.

“Apabila dimaklumkan berkenaan kesukaran yang sedang dihadapi oleh pemandu dan penghantar khidmat makanan (food rider), berkenaan isu penghantaran makanan halal dan haram, isu waktu solat, kebajikan dan kemalangan dan isu mencarum demi keselamatan mereka, hati jadi sayu dan sebak,” katanya.

Tambahnya, hampir 68 peratus penghantar makanan terdiri daripada anak muda Melayu Islam yang berjuang untuk kelangsungan dan survival hidup dalam keadaan yang penuh mencabar.

“Mereka ini rakyat Malaysia. Keluarga kita, anak-anak kita. Banyak perbincangan yang mendalam terhadap ruang yang boleh kami di dalam Pasukan Menteri Agama perlu bawa dan ketengahkan. Semuanya telah dalam pemakluman saya,” katanya lagi.

Petang semalam, beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Penghantar Malaysia, Zulhelmi Mansor bersama Ketua Cawangan Faedah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Perkeso, Khairullah Mahfud di pejabatnya.

“Pertemuan yang saya jangka singkat, namun banyak perkongsian yang cukup padat yang kami kongsikan.

“Dan saya yakin, isu-isu melibatkan mereka ini adalah tanggungjawab kita bersama,” ujarnya lagi.

Tambahnya, mereka adalah rantai utama dalam memastikan masyarakat boleh menikmati kemudahan yang serba canggih kini.

“Para pengusaha, peniaga dan pengguna khidmat ini, saya seru untuk kita sentiasa bertoleransi dalam memastikan semua mendapatkan keselesaan dan kemudahan bersama,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/2/2022

- Advertisement -