PAS berpotensi lebih menyerlah dalam politik Johor

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Johor sejak sekian lama dianggap sebagai negeri Umno. Bertanding dalam pilihan raya menentang Umno di negeri selatan Semenanjung Malaysia itu, keputusan seperti sudah boleh dijangka. Hampir setiap masa, berpihak kepada parti itu.

Namun mitos kehebatan Umno akhirnya runtuh apabila tsunami politik dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, menjatuhkan parti itu dari puncak kuasa.

- Advertisement -

Bagi PAS, parti yang penampilan dominan di utara dan Pantai Timur, usaha untuk menampilkan kehadiran parti ke wilayah selatan Semenanjung Malaysia, terutama Johor, sentiasa menghadirkan cabaran besar.

Namun, ini bukan bermakna mustahil untuk bertapak kukuh di Johor kerana sifat politik itu sendiri dinamis. Parti politik yang bernostalgia dengan kejayaan lama, suatu hari pasti akan kecundang.

Umno dan BN kecundang di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang untuk suatu tempoh yang lama dan hingga kini belum mampu bangkit.

Di Johor, keputusan PRU-14 menceritakan segala-galanya. PAS yang tidak pernah mengenal erti kekalahan boleh memanfaatkan dinamisme politik.

Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin, berkata parti secara konsisten bertanding dalam setiap PRU di Johor dan mencatat kemenangan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), namun belum lagi mencapai kejayaan di peringkat Parlimen.

Menurutnya, PAS meraih kemenangan pertama di Johor dalam PRU 2004 menerusi Dr Mohd Ramli Md Kari, yang menang tanpa bertanding di DUN Senggarang.

Pada PRU 2008, katanya PAS menang 2 kerusi melalui Dr Mohamad Taslim (DUN Maharani) dan Dr Sheikh Ibrahim Salleh (DUN Sungai Abong).

“Pada PRU 2013, PAS menang 4 kerusi, iaitu saya sendiri di DUN Puteri Wangsa, Dr Sheikh Ibrahim Salleh (DUN Sungai Abong), Dr Mohamad Taslim (DUN Maharani) dan Aminolhuda Hassan (DUN Parit Yaani). Pada PRU 2018 pula, PAS menang 1 kerusi di DUN Bukit Pasir menerusi Kapten (B) Najib Lep,” katanya.

Keupayaan memenangi kerusi DUN menunjukkan potensi PAS untuk lebih menyerlah dalam politik Johor walaupun jumlah kerusi yang dimenangi masih jauh lagi untuk mencapai tahap bagi membentuk kerajaan.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara NASR, Azmi Hassan, berkata PAS adalah parti yang mempunyai akar umbi kuat.

“Ini adalah kelebihan PAS yang bukan sahaja boleh bergantung kepada 100 peratus ahli PAS, malah penyokong parti itu dalam gerak kerja parti itu,” katanya.

Elemen ini tiada dalam parti politik lain yang jika ada pun akar umbi, tetapi memerlukan dorongan kewangan untuk digerakkan.

Walaupun Abdullah mengakui bahawa prestasi itu boleh dibanggakan, katanya PAS terus berusaha untuk mempertingkatkan penerimaan rakyat terhadap parti.

“Ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, PAS menganggotai pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ada yang dilantik sebagai ketua kampung dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sekali gus berpeluang menyerlahkan penampilan parti kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang mewakili PAS berbeza berbanding pihak lain seperti dari segi ketrampilan, kreativiti dan agama.

“Ketika pandemik Covid-19 dan juga sesetengah kawasan di Johor dilanda banjir baru-baru ini, PAS dekat dengan masyarakat apabila menggerakkan jentera parti seperti Jabatan Amal Malaysia yang bertungkus lumus membantu mereka yang terjejas,” katanya.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Abdullah berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan mengadakan mesyuarat khas untuk menentukan tarikh PRN Johor pada 9 Februari ini.

Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin

Antara tarikh penting PRN, termasuk tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

“Masih ada ruang lagi untuk berunding. Setakat ini, persefahaman kita dengan Bersatu sudah `confirm’ dan berterusan hingga kini. Cuma dengan Umno, kita masih berusaha mendapatkan kerjasama. PAS sebagai pendamai kalau boleh nak elak pertandingan 3 penjuru.

“Kita tak putus asa. Selagi ada masa, kita berusaha. Namun keputusan akhir adalah di peringkat pusat parti masing-masing,” katanya.

Azmi berpandangan bahawa Umno sebenarnya memerlukan PAS, bukan sahaja di Johor, tetapi bagi menghadapi PRU-15 jika mahu mendapat majoriti dua pertiga dan membentuk Kerajaan Pusat yang stabil.

“Umno sebaik-baiknya bekerjasama dengan PAS. Sudah tentu ini memerlukan perundingan dan tolak ansur,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi semua parti untuk menarik sokongan pengundi muda, Pesuruhjaya PAS Johor berkata, parti menyedari realiti baharu itu.

Seperti dalam pilihan raya sebelum ini, katanya golongan muda adalah antara bakal calon yang akan ditonjolkan dalam PRN Johor dan pada masa sama, parti memberi peluang kepada semua peringkat parti seperti ulama, golongan profesional, muslimat dan aktivis.

PRN Johor bakal menyaksikan pertambahan lebih 700,000 pengundi baharu, termasuk kira-kira 180,000 pengundi muda berusia antara 18 hingga 20 tahun.

Sementara itu, Azmi berkata senario pengundi muda dalam pilihan raya di negara jiran, Singapura, tahun lalu mungkin boleh berlaku di PRN Johor.

“Pengundi muda ialah mereka yang berumur bawah 40 tahun. Mereka akan membuat keputusan drastik yang tak dilakukan oleh golongan berumur. Sikap `anti-establishment’ (anti golongan berkuasa) menyebabkan mereka akan memberi undi kepada parti pembangkang.

“Dalam pilihan raya Singapura, buat kali pertama parti pembangkang menang 10 kerusi, sesuatu yang tak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu dalam PRN Johor, katanya ada kemungkinan pengundi muda dengan sikap `anti-establishment’ akan memberi undi kepada parti bukan Umno yang dilihat sebagai golongan berkuasa, iaitu sama ada PN, PH atau parti lain yang bertanding. – HARAKAHDAILY 28/1/2022

- Advertisement -