Ayah Chik tunaikan permintaan biarpun dalam rawatan

- Advertisement -

SERBA salah jadinya bila diberitahu Ayah Chik dalam keadaan tak sihat dan sedang menerima rawatan di hospital. 

Memang sangat berhajat supaya Ayah Chik dapat tulis sedikit Kata Pengantar untuk buku kami ini. Buku ini sangat berkait dengan apa yang Ayah Chik tulis, mengenai Tahaluf Siyasi atau Muafakat Politik.

- Advertisement -

Ayah Chik bukan sahaja tulis, bahkan mengamalkannya. Sebab itu kami sangat berhajat supaya Ayah Chik memberi Kata Pengantar untuk buku ini. 

Tapi bila dapat tahu waktu itu Ayah Chik duduk dalam wad, tak sihat, kami jadi serba salah. Nak minta Ayah Chik tulis, beliau tak sihat. Kalau tak minta, rasa rugi pula takut terlepas peluang yang ada. 

Dalam keadaan serba salah itu, digagahkan juga diri untuk beritahu hajat tersebut kepada Saudara Syahir Sulaiman (Setiausaha Politik Ayah Chik), Ustaz Malik (Setiausaha Akhbar Ayah Chik) dan YB Ustaz Khalil sendiri (anakanda Ayah Chik). Ketiga-tiga mereka tak begitu memberikan harapan yang tinggi untuk Ayah Chik menulis Kata Pengantar buku ini. 

“Banyak dah buku-buku sebelum ini yang diminta untuk Ayah Chik tulis Kata Pengantar, tapi Ayah Chik tak dapat nak tulis lagi, tak sihat”. 

Jawapan ini membuatkan kami pasrah. Tak apalah. Ada rezeki, ada. Tak ada rezeki, tak ada. Kami dah bersedia untuk dapatkan tokoh lain, kalau kesihatan Ayah Chik menghalangnya daripada menulis Kata Pengantar buku kami ini. 

Kalaupun Ayah Chik tak dapat tulis Kata Pengantar buku ini sekalipun, kami dah berpuas hati. Puas hati sebab Ayah Chik pernah luangkan masa hampir 3 jam, melayan soalan-soalan temu bual kami untuk menyiapkan kajian yang dibukukan ini, beberapa tahun lalu. 

Asalnya kami jangka Ayah Chik dapat luangkan masa mungkin dalam setengah jam sahaja. Tapi bila Ayah Chik dapat tahu bahawa tajuk kajian kami ini adalah Tahaluf Siyasi, sesi temu bual itu serta merta bertukar menjadi sesi kuliah universiti! 

Ayah Chik bercakap mengenai sejarah Tahaluf Siyasi, sirah Rasulullah S.A.W mengenai muafakat politik, dan sejarah muafakat politik PAS sejak mula PAS ditubuhkan hingga kini. 

Tak sempat kami nak tanya soalan-soalan lain, syarahan Ayah Chik dah menjawab beberapa soalan yang memang ada dalam senarai soalan kami! Allahuakbar. Macam Ayah Chik dah tahu apa yang kami nak tanya. 

Kenyang sungguh kami waktu itu. Kenyang dengan ilmu seorang guru, kenyang dengan perkongsian pengalaman sebenar seorang negarawan seperti Ayah Chik. Buku catatan penuh dengan nota. 

Perakam suara Sony kami hampir penuh memorinya. Berbaloi kami berkenderaan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur hari itu. Sangat berbaloi. Sebab itu kami boleh terima kalau Ayah Chik tak dapat tulis Kata Pengantar untuk buku ini sebab masalah kesihatan. 

Tiba-tiba petang itu, YB Ustaz Khalil telefon. Nadanya ceria. Kata YB Ustaz Khalil, “Tadi ana gi jumpa Ayah Chik. Ayah Chik duk menulis. Ana tanya Ayah Chik tulis apa. Ayah Chik jawab, duk tulis Kata Pengantar untuk buku Afnan.”

Allahuakbar! Rasa hiba dan sayu sungguh hati. Walaupun sakit, Ayah Chik sanggup luang masa untuk tulis juga Kata Pengantar buku, sanggup tunaikan juga hajat kami. 

Tak lama selepas itu, Saudara Syahir Sulaiman dan Ustaz Malik juga memaklumkan perkara yang sama. Kata Pengantar Ayah Chik untuk buku kami dah siap. 

Memang berair kelopak mata waktu itu. Sampai isteri boleh perasan. Sebenarnya, air mata mengalir waktu itu kerana dua sebab. 

Pertama, saat kami sudah pasrah mungkin Ayah Chik tak sempat untuk tunaikan hajat kami, tiba-tiba Ayah Chik gagahkan juga diri menulis sendiri Kata Pengantar ini. Walaupun ringkas, tapi ia amat besar maknanya bagi kami. Sangat bermakna. Terharu dan sayu. 

Kedua, kerana menulis sudah menjadi sangat sebati dengan jiwa Ayah Chik. Menulis ibarat ubat penawar kepada segala kesakitan dan keperitan yang Ayah Chik tanggung. Walaupun hidupnya penuh dengan caci maki tohmahan musuh dan rakan, namun Ayah Chik tetap menulis, menulis, dan terus menulis. 

Malu kami yang sihat segar bugar ini dengan Ayah Chik. Memang malu. Kami boleh menulis, menyampai dan mengolah mesej dalam bentuk tulisan, tapi kami tak buat. Allah. Malu sungguh. Bukan main-main, memang malu.

Terima kasih Ayah Chik. Kami sangat-sangat menghargai. Kata Pengantar Ayah Chik dalam buku kami ini, adalah antara benda termahal dalam hidup kami. 

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
15 Januari 2022 – HARAKAHDAILY 15/1/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000386434949/posts/4946325032056996/

- Advertisement -