Assabiqun mampu setanding dengan dewan-dewan PAS

- Advertisement -

Oleh SAIDAH HAIRAN

GERIK:
Pengerusi Sidang Assabiqun PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed mengingatkan ahli dan pimpinan Assabiqun dapat meneruskan perjuangan Islam melalui parti itu walaupun sudah tiada jawatan dalam parti.

Katanya, keanggotaan ahli Assabiqun hampir 40,000 orang di seluruh negara mampu menjadikan kumpulan veteran itu setanding dengan dewan-dewan yang ada dalam PAS.

Beliau bersyukur Assabiqun diberi peluang dan ruang untuk menjadi sebahagian daripada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

- Advertisement -

“Ada hikmah Assabiqun berada dalam AJK PAS Pusat selama dua tahun. Ini adalah untuk mengimbangi antara orang muda dengan orang yang berpengalaman,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Keluarga Assabiqun PAS Perak di Kompleks Tarbiah PAS Kawasan Gerik, Kampung Kerunai, hari ini.

Menurut beliau, memandangkan keahlian ramai dan masih ada lagi yang belum berdaftar, Assabiqun PAS Pusat akan merangka hala tuju Assabiqun.

Katanya, peranan Assabiqun masih hebat kerana kebanyakan ahli mempunyai pengalaman sebagai Pesuruhjaya PAS negeri-negeri dan pimpinan Pusat dan kawasan.

Justeru kata beliau, Assabiqun akan setanding dengan dewan-dewan dalam PAS, lebih-lebih lagi kalau keahlian terus meningkat setiap tahun sehingga 400,000 orang.

Sempena Hari Assabiqun PAS Perak, empat orang bekas pimpinan PAS negeri telah diberi anugerah sebagai jasawan iaitu bekas Pesuruhjaya PAS negeri selama enam tahun, Ustaz Azizan Mohamed Desa, bekas Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Tuan Guru Sidek Mohd Noor; bekas AJK PAS Pusat, Ustaz Noh Ahmad dan bekas Ketua Dewan Muslimat negeri, Ustazah Bariah Alang Sapri.

Assabiqun PAS Pusat turut memberi sumbangan kepada pihak pengurusan kompleks markas yang sedang dalam pembinaan. – HARAKAHDAILY 15/1/2022

- Advertisement -