Tren tidak berhenti: KTMB lengkap siasatan dua minggu

Mohd Zain menyantuni para pelajar yang menaiki tren pagi tadi.
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KUALA KRAI: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melengkapkan siasatan dalam tempoh dua minggu ke atas beberapa kakitangan yang terlibat susulan kejadian pemandu tren bertindak melangkau hentian menyebabkan pelajar terlepas sesi persekolahan secara bersemuka, semalam.

Ketua Pengawai Operasi KTMB, Mohd Zain Taha berkata, satu panel siasatan yang ditubuhkan akan menyelesaikan insiden berhubung perkara itu dalam tempoh dua minggu bermula semalam yang akan menyiasat dari pelbagai aspek seperti teknikal, operasi dan corak larian tren.

- Advertisement -

“Setakat ini empat kakitangan yang terlibat iaitu pemandu, pembantu pemandu, penyelia kereta api dan pemeriksa tiket telah digantung kerja bagi menjalankan siasatan secara terperinci, selain kakitangan lain yang terlibat juga akan dipanggil sebagai saksi.

“Bagaimanapun, kami pihak KTMB menganggap insiden yang berlaku ini merupakan satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku dan kita akan pastikan beberapa langkah akan diambil bagi memastikan ia tidak akan berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di hentian Kuala Gris di sini pagi ini.

Mengulas lanjut katanya, sebarang tindakan lanjut yang akan dikenakan ke atas mereka yang terlibat bagaimanapun bergantung kepada penilaian panel kes yang berlaku.

“Selain itu, sebarang tindakan juga akan dicadangkan kepada pihak pengurusan KTMB untuk sebarang tindakan yang perlu dikenakan terhadap mereka. Panel siasatan ini adalah prosedur dalam kita menangani sesuatu insiden dalam KTMB.

“Pihak KTMB kesal dengan insiden yang berlaku ini dan ingin memohon maaf sekali lagi kepada semua warga Kuala Gris, pelajar sekolah terutamanya kepada ibu bapa serta pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong selain penduduk di kawasan sekitar di atas kejadian yang berlaku semalam,” katanya.

Semalam media melaporkan, kira-kira 100 pelajar dari Kampung Kuala Gris terkandas di Hentian Kuala Gris apabila kereta api yang merupakan pengangkutan utama mereka tidak berhenti seperti biasa.

Kejadian itu melibatkan tren Shuttle Timuran No 51 yang berlepas dari Stesen Tumpat pada jam 4.05 pagi dan hasil siasatan mendapati tren tersebut tidak berhenti di hentian Kuala Gris pada jam 7.08 pagi tadi.

Difahamkan, SMK Dabong terletak kira-kira 14 kilometer dari stesen itu. – HARAKAHDAILY 10/1/2022

- Advertisement -