30 tahun kejatuhan Soviet Union

- Advertisement -

PERALIHAN masa menjadi satu tanda kebesaran Allah SWT yang menguasai alam semesta termasuk manusia. Firman Allah ayat 26 Surah Al-Imran menjadi iktibar bahawa tidak ada mana-mana kerajaan yang kekal selama-lamanya sama ada kerajaan baik mahupun jahat. Al-Quran mengisahkan jatuh bangun sesebuah kerajaan sejak zaman berzaman untuk dijadi iktibar kepada manusia di sepanjang zaman.

- Advertisement -

Pada 25 Disember 1991, Presiden Soviet Union Mikhail Gorbachev mengejutkan seluruh dunia dengan mengumumkan pembubaran Soviet Union dan perletakkan jawatannya sebagai Presiden Soviet Union.

Selepas lebih 40 tahun dunia berada di ambang peperangan nuklear, pengumuman tersebut sekaligus menamatkan era “ perang dingin “ di antara Amerika Syarikat dan Soviet Union.

Sebagai satu-satunya negara Komunis yang terbesar di dunia dan menjadi pengimbang kepada kekuasaan Amerika Syarikat, pembubaran Soviet Union menyebabkan ia berpecah kepada 15 buah republik dan lantas menjadikan Amerika Syarikat sebagai satu-satunya kuasa hegemoni terbesar di dunia.

Ketika zaman kemuncak kekuasaan Soviet Union, ia menjadi ancaman terbesar dan seteru utama Amerika Syarikat dengan jumlah kekuatan anggota tentera seramai 5 juta orang dan perlumbaan senjata termasuk senjata nuklear dengan Amerika Syarikat menjadikan Soviet Union sebagai antara negara terbesar yang mempunyai simpanan senjata nuklear pelbagai jenis.

Pada hari pembubaran Soviet Union, Presiden Amerika Syarikat George H.W. Bush mengisytiharkan kemenangan ke atas perang dingin setelah sekian lama Amerika Syarikat berusaha untuk mengalahkan Soviet Union dalam senario penguasaan geopolitik dunia.

Pelbagai usaha dilakukan ketika berlakunya perang dingin untuk menjatuhkan Soviet Union tetapi tidak berjaya. Namun selepas George H.W. Bush menjadi Presiden Amerika Syarikat pada Januari 1989, beliau tidak mengikuti langkah Presiden Amerika Syarikat sebelumnya iaitu Ronald Reagan untuk berdepan dengan Soviet Union.

Sebaliknya beliau mengarahkan penilaian semula dasar dan polisi strategik Amerika Syarikat dalam usaha untuk mewujudkan pelannya sendiri bagi menangani Soviet Union dan kawalan senjata terutamanya senjata nuklear yang menjadi ancaman mahupun ketakutan Amerika Syarikat ketika era perang dingin.

Tidak lama selepas itu, pelan Amerika Syarikat untuk mewujudkan ketidakstabilan terhadap Soviet Union mula menampakkan hasil dengan keadaan di Timur Eropah dan Soviet Union mula berubah.

Negara-negara Timur Eropah yang menjadi sekutu kuat Soviet Union mula bergolak dan warganya bangkit menuntut pembaharuan terutamanya pemerintahan demokrasi serta untuk membebaskan diri dari cengkaman komunisme.

Ia seterusnya mencetuskan momentum kuat kebangkitan warga Eropah Timur hingga mencetuskan pergolakan besar yang menyaksikan negara – negara Komunis di Eropah Timur tumbang satu persatu.

Akhirnya pada November 1989, Tembok Berlin yang menjadi simbol kekuasaan Soviet Union dan Komunisme rebah menandakan berakhirnya pengaruh Soviet Union di Timur Eropah.

Selepas berjaya melenyapkan pengaruh dan kekuasaan Soviet Union di Timur Eropah, George H.W.Bush dan Amerika Syarikat mula mengalihkan perhatian ke arah Mikhail Gorbachev kerana sedar bahawa beliau berada dalam tahap yang paling lemah dalam era kekuasaannya.

Ketika itu, telah wujud gelombang kebangkitan warga Soviet Union akibat kemunduran ekonomi yang mencengkam disamping pentadbiran dan pemerintahan komunisme yang tidak efektif serta pelbagai sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Soviet Union hingga hampir melumpuhkan ekosistem ekonomi Soviet Union.

31 Julai 1989, George H.W. Bush dan Mikhail Gorbachev menandatangani perjanian strategik berkenaan pengurangan simpanan senjata nuklear di Moscow, Soviet Union di samping bantuan ekonomi kepada Soviet Union yang ketika itu berada dalam keadaan tenat.

Disember 1989, sekali lagi George H.W. Bush mengadakan pertemuan dengan Mikhail Gorbachev di Malta (Malta Summit) untuk perundingan akhir berkaitan perjanjian senjata nuklear, keadaan terkini di Eropah Timur dan mendesak agar Soviet Union beralih arah kepada sistem demokrasi dan kapitalisma dengan membuka ekonomi Soviet Union kepada Amerika Syarikat dan dunia.

Ramai penganalisa geopolitik dunia ketika itu menisbahkan bahawa “ Malta Summit“ adalah tanda permulaan berakhirnya “Empayar Soviet Union“ kerana Amerika Syarikat telah mengenakan syarat-syarat yang agak ketat kepada Mikhail Gorbachev dan Soviet Union terutamanya untuk memperolehi bantuan ekonomi bagi menangani keadaan ekonomi Soviet Union yang meruncing.

Akur kepada syarat tersebut, Mikhail Gorbachev akhirnya membuat keputusan membenarkan sistem pelbagai parti dalam proses pilihanraya dan mewujudkan jawatan Presiden untuk Soviet Union dalam proses perlahan peralihan kepada sistem demokrasi yang akhirnya menjejaskan kawalan sistem komunisme dan menjadi penyumbang utama kepada keruntuhan Soviet Union.

Selepas diadakan pilihanraya Presiden untuk Soviet Union pada 1990, satu-satunya pilihan raya Presiden yang diadakan ketika era Soviet Union dengan dimenangi oleh Mikhail Gorbachev, keadaan politik di Soviet Union mula kucar-kacir dan menimbulkan ketidakstabilan kerana telah wujud golongan yang menentang kuat agenda pembaharuan Mikhail Gorbachev.

Boris Yeltsin dan golongan pluralis menyokong pembaharuan ke arah demokrasi dan ekonomi yang pesat manakala golongan tegar elit komunis Soviet Union yang masih kuat dan berpengaruh menentang agenda reformasi Mikhail Gorbachev di samping mendakwa beliau tunduk kepada Amerika Syarikat.

Untuk mengelak Mikhail Gorbachev kehilangan sokongan, Amerika Syarikat meneruskan agenda sokongan mereka kepada Mikhail Gorbachev kerana melihat beliau sebagai “umpan“ terbaik untuk memporak perandakan Soviet Union dengan menampilkan beliau sebagai jaguh demokrasi di mata dunia.

Tentera “merah“ Soviet Union mula berundur dari Jerman Timur, Mikhail Gorbachev kemudiannya menyokong penyatuan Jerman, dan akhirnya akur akan penyertaan Jerman ke dalam NATO.

Apabila Saddam Hussin menawan Kuwait, Amerika Syarikat dan Soviet Union berkerjasama secara diplomatik untuk menangkis serangan tersebut.

Di sebalik imej positif yang berjaya ditampilkan Mikhail Gorbachev di mata dunia, keadaan di Soviet Union adalah sebaliknya. Tekanan ke atas Mikhail Gorbachev semakin memuncak.

Selepas tumbangnya negara komunis di Eropah Timur, negara-negara Baltik dan Caucasus seperti Azerbaijan, Armenia dan Georgia menuntuk kemerdekaan daripada Soviet Union.

Pada Januari 1991, berlakunya rusuhan besar di Latvia dan Lithuania dengan Soviet Union menghantar tenteranya bagi menangani rusuhan tersebut di mana warga Latvia dan Lithuania menuntut pembaharuan demokrasi dan kemerdekaan. Amerika Syarikat mengecam tindakan Soviet Union dan meneruskan agendanya meranapkan Soviet Union.

Setelah melihat keadaan di Soviet Union bertambah buruk, George H.W. Bush secara rahsia mula mendekatkan diri dan memberikan sokongan kepada Boris Yeltsin. Pada Ogos 1991, telah berlaku satu cubaan rampasan kuasa dalam usaha untuk menumbangkan Mikhail Gorbachev namun ia gagal.

Rampasan kuasa yang diterajui oleh golongan tegar elit komunis Soviet Union itu bagaimanapun berjaya membataskan kuasa Mikhail Gorbachev dan berjaya mengangkat Boris Yeltsin dan golongan pro demokrasi ke arus perdana politik Soviet Union. Kelemahan dan pengurangan kuasa Mikhail Gorbachev ketika itu menjadi amat ketara.

Mikhail Gorbachev selepas itu meletakkan jawatan dalam parti komunis Soviet Union. Hierarki tertinggi parti Komunis Soviet Union dibubarkan dan Boris Yeltsin melarang sebarang aktiviti parti komunis. Beberapa hari selepas itu, Ukraine dan Belarus mengisytiharkan kemerdekaan daripada Soviet Union diikuti oleh negara-negara Baltik.

Ketika itu ketidakstabilan di Soviet Union menjadi semakin memuncak dan menghampiri era pengakhiran Soviet Union. Setiausaha Negara Amerika Syarikat ketika itu, James Baker menemui Mikhail Gorbachev dan Boris Yeltsin untuk membincangkan keadaan genting di Soviet Union di samping mencadangkan pembaharuan politik bagi mengawal ketidakstabilan.

Akhirnya pada 25 Disember 1991, runtuhlah Soviet Union dan Mikhail Gorbachev meletakkan jawatan sebagai Presiden terakhir Soviet Union. Boris Yeltsin mengangkat sumpah sebagai Presiden baharu Republik Rusia yang mana akhirnya Amerika Syarikat berjaya menundukkan musuh utamanya untuk menjadi negara kuasa besar utama dunia ketika itu.

Namun ketika ini Amerika Syarikat sedang berhadapan dengan kejatuhannya sendiri, berdepan dengan kebangkitan semula Soviet Union yang baharu iaitu Rusia dan seteru utamanya kini, satu-satunya negara komunis yang masih wujud di dunia iaitu China selain Cuba, satu lagi negara komunis yang berjaya ditekan dan hampir dilenyapkan Amerika Syarikat.

Apa sekalipun yang berlaku, dunia memerlukan pembaharuan dan keadilan untuk semua pihak. Dunia tidak memerlukan beberapa negara menjadi penentu kepada nasib negara-negara lain di dunia. “Colonialism“ dan terma kuasa besar perlu dihapuskan untuk kebaikan semua pihak.

Semoga dunia menjadi aman dan makmur serta nasib umat Islam terus terbela dan dilindungi Allah SWT.

Islam Menyatukan Ummah.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 7/1/2021

- Advertisement -