Bantuan PAS ringankan beban mangsa banjir

- Advertisement -

PEKAN: PAS Kawasan Pekan telah menghulurkan bantuan bekalan makanan dan barangan keperluan kepada 55 keluarga di Kampung Sungai Baung, Pulau Keladi, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf mengetuai pemberian sumbangan ini dan turut dihadiri Timbalan serta Naib Yang Dipertua PAS Pekan, Ustaz Mohd Fadhil Noor Abdul Karim dan Kapten (B) Ahiatudin Daud.

Ketua Muslimat, Ustazah Rohana Mohamad turut tidak ketinggalan menyertai misi bantuan yang bertujuan menyantuni dan meringankan beban penduduk kerana menjadi mangsa banjir.

Menurut Ustaz Abu Kassim, Pekan kebiasaannya menerima air banjir peringkat terakhir dan ianya lambat surut kerana kedudukannya terletak di kuala Sungai Pahang.

Air genang menyebabkan persekitaran kawasan di kelilingi air dalam tempoh hingga dua minggu di mana menyukarkan pergerakan penduduk kampung ini yang kebanyakannya adalah penternak ikan sangkar.

“Kadang-kadang sampai seminggu, dua minggu mereka berada dalam air. Jadi PAS Kawasan Pekan, macam biasa setiap tahun, sentiasa berusaha untuk menghulurkan sumbangan sekadar kemampuan.

“Dengan pertolongan sahabat-sahabat daripada dekat dan jauh, anak perantauan dan sebagainya, kita sampaikan sumbangan ini kepada mangsa banjir bagi mengurangkan beban yang mereka tanggung,” ujar Ustaz Abu Kassim.

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Roslan Haron mengakui sumber pendapatannya terjejas setiap kali bah berikutan banyak ikan seperti patin, baung, talapia dan lampam terlepas kerana sangkar bocor.

Menyedari beberapa kawasan sama dinaiki air dalam gelombang kedua ditambah dengan paras air laut yang juga naik, Ustaz Fadhil Noor mengajak orang ramai turut sama membantu mangsa banjir.

“Kepada muslimin muslimat di luar sana, bolehlah membantu menghulurkan sumbangan kepada program kebajikan dan insya Allah akan dibayar balik oleh Allah S.W.T,” ujar beliau penuh yakin. – HARAKAHDAILY 7/1/2022

- Advertisement -