PAS dan NGO bantu bina semula rumah dihanyut arus

- Advertisement -

TEMERLOH: Musibah banjir terbaru sememangnya telah memusnahkan banyak kediaman di mana sebanyak 15 rumah bukan sahaja ditenggelami bahkan ada yang runtuh dan dibawa arus deras di Kampung Insaf, Lanchang, di sini

Persatuan Prihatin Anak Watan Terengganu dengan kerjasama PAS DUN Bukit Payung, Khidmat Malaysia, Jabatan Amal Malaysia, Alternative Riding Club (ARC) serta beberapa lagi NGO dari Terengganu berusaha membina kembali salah sebuah rumah telah dihanyutkan itu.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi Persatuan Prihatin, Mohd Asmawi Mokhtar, ini adalah kali keempat pihaknya ke Temerloh sejak air surut dengan misi membina semula rumah yang dihanyut arus deras dan berusaha menyiapkan rumah itu dalam tempoh 2 hari.

Turut hadir membantu ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin dan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh, Hasan Omar.

Menurut Hasan, kerjasama antara NGO ini bukan sahaja membawa beberapa tukang mahir dan puluhan petugas, bahkan turut membawa kelengkapan dan peralatan, jentera backhoe, kewangan termasuk pasukan memasak. 

Manakala penghuni rumah tersebut, Md Johar Kasim melahirkan rasa syukur kepada Allah dan penghargaan kepada PAS dan NGO yang sangat prihatin dan bertindak segera membantu mangsa-mangsa banjir kali ini.

Beliau berasa sangat lega apabila rumah beliau sedang dibina semula hasil usaha gotong-royong dan sikap dermawan semua pihak.

Ir Khairil Nizam juga merakam penghargaan kepada semua pimpinan dan ahli PAS termasuk NGO seperti Khidmat Malaysia, Jabatan Amal Malaysia, Bridged Muslimat, ARC dan pelbagai lagi yang sentiasa memikirkan sumbangan kepada mangsa banjir.

Katanya, semoga semua jenis bantuan dan sokongan dari semua pihak, akan mendapat keberkatan dari Allah S.W.T. – HARAKAHDAILY 8/1/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=227418976221533&id=100068602959772

- Advertisement -