Pasukan pengaman diketuai Rusia dikerahkan ke Kazakhstan

- Advertisement -

MOSCOW: Pasukan pengaman dari negara bekas Soviet diketuai Rusia akan dihantar ke Kazakhstan untuk membantu menstabilkan negara itu yang dilanda protes besar-besaran rakyat.

Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan, berkata penempatan pengaman untuk jangka waktu terhad adalah bagi memenuhi rayuan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev serta mengambil kira ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan repbulik itu.

- Advertisement -

Tokayez sebelum ini meminta bantuan Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO), pakatan ketenteraan dianggotai Rusia, Belarus, Armenia, Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Tajikistan.

Bagaimanapun, Pashinyan tidak menyatakan bilangan anggota pengaman yang akan dihantar dan tarikh pemergian ke Kazakhstan.

Mengikut agensi berita milik Rusia, Sputnik, Kazakhstan dengan keluasan lima kali ganda lebih besar daripada Perancis mempunyai kira-kira 19 juta penduduk, dilanda kekacauan apabila lapan anggota pasukan keselamatan dibunuh oleh penunjuk perasaan pada Selasa dan Rabu lalu.

Protes bermula selepas kenaikan harga bahan api dengan penunjuk perasaan menyerbu bangunan kerajaan dan melaungkan gesaan menentang Tokayez yang menggantikan Nursultan Nazarbayez.

Nazarbayez meletakkan jawatan pada 2019, namun masih mempunyai kuasa besar selepas berkuasa hampir 30 tahun di negara bekas Soviet itu.

Agensi berita Interfax memetik kenyataan Leonid Kalashnikov, iaitu Ketua Jawatankuasa Parlimen Rusia, yang mengendalikan perhubungan dengan Negara Merdeka Komanwel, bahawa pasukan pengaman akan kekal sehingga keadaan stabil. – REUTERS

- Advertisement -