Omicron: Akur terpaksa tangguh ibadat umrah

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Biarpun mendaftar untuk menunaikan umrah sejak 2019, namun bakal jemaah umrah akur terhadap arahan kerajaan menangguh lagi ibadat tersebut kerana penularan varian Omicron Covid-19.

Ahmad Syafiq Hassan, 30, berkata, beliau sudah dua kali mendaftar untuk mengerjakan ibadah tersebut terpaksa bersabar dengan situasi yang berlaku sekarang.

- Advertisement -

Katanya, beliau mendaftar pada 2019 untuk menunaikan umrah, namun terpaksa ditangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak.

“Pada akhir tahun lepas, sekali lagi saya mendaftar untuk menunaikan umrah setelah kebenaran diberi kerajaan, namun apa boleh buat terpaksa ditangguh sekali lagi.

Ahmad Syafiq Hassan

“Penangguhan tersebut berkaitan dengan nyawa, jadi apa boleh buat kita terpaksa akur dan bersabar,” katanya di sini.

Pada Sabtu lepas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan penangguhan sementara ibadat umrah bermula 8 Januari ini berikutan penularan virus Omicron.

Menurutnya tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuat kuasa Sabtu lepas.

Seorang lagi bakal jemaah umrah, Lizawati Abdul Hamid, 39 berkata, langkah kerajaan menangguh sementara ibadat umrah untuk mengelakkan penularan wabak tersebut.

“Walaupun Arab Saudi masih menerima jemaah mengerjakan ibadah umrah tetapi pihak Malaysia mengambil pendekatan menangguh sementara supaya tidak berlaku penularan Omicron dalam kalangan rakyat.

“Lagi pun jemaah dibenar menjalani kuarantin di rumah selepas pulang dari umrah, namun jika didapati positif kebarangkalian menjangkiti ahli keluarga sangat tinggi,” ujarnya.

Katanya, jemaah umrah sewajarnya mengelakkan mereka menjadi ajen menyebar virus Omicron kepada masyarakat.

Lizawati Abdul Hamid

“Sekiranya berlaku peningkatan kes jangkitan Covid-19 rakyat di negara ini, tentunya ada pihak akan menyalahkan kerajaan kerana tidak melakukan sekatan awal,” katanya.

Lizawati juga berkata, beliau difahamkan kerajaan mengarahkan agensi umrah supaya memulangkan semula bayaran kepada jemaah.

Beliau turut berharap sekatan serupakan dikenakan terhadap mereka yang hendak melancong ke luar negara. – HARAKAHDAILY 3/1/2022

- Advertisement -