Perkasa MN-PN supaya kuasa politik kekal Islam-Melayu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu terus diperkasakan demi mengekalkan penyatuan Islam-Melayu, demikian kata Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya.

- Advertisement -

Menurut beliau yang juga ADUN Panching, penegasan oleh Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS mengenai perkara itu adalah untuk memastikan kuasa politik negara akan sentiasa berada pada majoriti Islam-Melayu di tanah air ini.

“Tujuan MSU untuk memperkasakan MN dan PN dengan maksud utama mengekalkan penyatuan Melayu-Islam. Ini sebagaimana telah dilakukan ketika mana PH (Pakatan Harapan) berkuasa selama 22 bulan dahulu.

“Jadi asas kepada matlamat ini adalah penyatuan Melayu-Islam. Selagi mana Melayu-Islam berjaya kita satukan, maka kuasa negara akan berada pada majoriti Islam-Melayu di tanah air ini,” ulas beliau.

Beliau bersetuju bahawa penegasan dikeluarkan MSU menerusi Al-Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin itu supaya usaha menyatukan ketiga-tiga parti Islam-Melayu utama yang membentuk kerajaan mesti sentiasa dilakukan.

“(Ini) bagi mengelak pertembungan tiga penjuru. Matlamat utama kita supaya PH tidak berkuasa dan kerajaan sebagaimana ada hari ini terus dikekalkan.

“Iaitu kerajaan yang saling meraikan, menghormati dan sanggup berkongsi kuasa demi kepentingan Islam-Melayu di tanah air kita,” ujar beliau.

Tambah beliau, semua pihak juga perlu sedar dan akur bahawa tidak ada yang dapat berkuasa secara bersendirian ketika ini di mana antara PAS, Umno dan Bersatu terutamanya adalah saling perlukan antara sama lain.

“PAS perlukan Umno dan Bersatu. Umno perlukan PAS dan Bersatu. Bersatu perlukan PAS dan Umno. Kalau masing-masing meletakkan penyatuan ummah sebagai keutamaan, maka mesti bersedia berkongsi kuasa bagi menguruskan kuasa.

“Sikap mementingkan diri atau mengutamakan kelompok, boleh menyebabkan berlaku pertembungan sesama sendiri dalam PRU dan boleh menjadi faktor kekalahan bila bertemu dengan PH.

“Kena ingat musuh yakni PH, sentiasa mencari jalan untuk meleraikan ikatan penyatuan ini. Bila kita bercerai, berpisah, maka ia menjadi peluang kepada PH untuk kembali memenangi PRU dan berkuasa.

Jadi untuk dapat kuasa, kita kena berkongsi kena saling menghormati, rai meraikan. Bila dapat kuasa, kena bersedia berkongsi kuasa sebagaimana kita telah lakukan pada hari ini.

“Rakyat dapat nikmati kebaikan, kemakmuran dan keindahan daripada perkongsian kuasa dari tiga parti utama pada hari ini,” yakininya. – HARAKAHDAILY 1/1/2021

- Advertisement -