Hujan lebat seminggu, banjir dan empangan pecah di Brazil

- Advertisement -

ITABUNA: Tidak cukup dengan banjir akibat hujan lebat selama seminggu, sebuah empangan yang pecah menyebabkan keadaan banjir semakin parah di negeri Bahia yang terletak di timur laut Brazil.

Empangan Igua di Sungai Verruga berdekatan bandar Vitoria da Conquista di selatan Bahia, pula pecah pada malam Sabtu lalu, memaksa pihak berkuasa memindahkan penduduk.

- Advertisement -

Sebuah lagi empangan di Jussiape, terpaksa melepaskan air menyebabkan amaran dikeluarkan kepada penduduk untuk berpindah, pagi semalam.

Setakat ini, tiada laporan kematian atau kecederaan akibat kejadian di kedua-dua empangan itu, namun jambatan dan jalan raya dilaporkan mengalami banyak kerosakan.

Di kawasan pantai Itabuna yang didiami kira-kira 200,000 penduduk, pasukan bomba dihantar untuk menyelamatkan penduduk yang terperangkap di rumah yang ditenggelami banjir.

Peniaga, Luiz Constancia, ketika memperincikan keadaan banjir berkata, keadaan sungguh menakutkan dengan gelombang air setinggi dua meter.

Penyelamat terpaksa menggunakan perahu kecil sepanjang jalan yang ditenggelami air untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap atau menghantar bekalan makanan. Seorang lelaki pula menggunakan tilam angin untuk pulang ke rumah.

Penduduk berkata, paras air Sungai Cachoeira yang melalui bandar itu sejauh kira-kira 30 kilometer dari bandar pelabuhan Ilheus, adalah paling tinggi sejak 50 tahun lalu.

Di Vitoria da Conquista, Datuk Bandar Sheila Lemos, berkata semua penduduk berhampiran empangan Igua yang pecah telah dipindahkan.

Dalam paparan laman sesawang bandar itu, Lemos berkata banjir menyebabkan lebuh raya BR-116, laluan utama ke selatan dan timur laut Brazil tidak dapat dilalui.

Gabenor Bahia, Rui Castro, berkata sekurang-kurang 400,000 orang terjejas akibat hujan lebat dan ribuan terpaksa dipindahkan dari 67 bandar akibat paras air yang meningkat sehingga satu atau dua meter, malah di sesetengah tempat hingga tiga meter.

Hujan menyebabkan 18 orang maut di Bahia sejak November lalu, termasuk seorang lelaki berusia 60 tahun yang lemas di Sungai Rio das Contas.

Di ibu negeri Salvador, seorang pegawai kerajaan memberitahu jumlah hujan pada Disember adalah enam kali lebih tinggi berbanding purata hujan sebelum ini. – HARAKAHDAILY 27/12/21

- Advertisement -