Kerajaan tangani kesan peranti pintar terhadap kanak-kanak

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff.
- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui tiga agensi kementerian itu melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran ibu bapa dan masyarakat berhubung penggunaan dan keselamatan siber.

Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan kerana kementerian memandang serius kesan penggunaan peranti pintar yang berlebihan terhadap kanak-kanak.

- Advertisement -

Katanya, agensi berkenaan ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Institut Sosial Malaysia (ISM) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Bagi LPPKN, antara inisiatif dijalankan ialah Program Pendidikan Keselamatan Keluarga dan Anak (PEKA) untuk memberi pendidikan kepada ibu bapa mengenai aspek keselamatan yang mencakupi keselamatan di rumah, luar rumah dan dalam talian.

“Antara 2019 hingga 2021, seramai 205 jurulatih dilatih dengan kerjasama rakan strategik seperti KEMAS, Jabatan Perpaduan, JKM dan badan bukan kerajaan (NGO). Sebanyak 288 program juga dilaksanakan kepada 17,550 peserta,” katanya menjawab soalan lisan Senator Dr Ahmad Azam Hamzah di Dewan Negara, hari ini.

Siti Zailah berkata, LPPKN turut menganjurkan program pendidikan keibubapaan yang menekankan keselamatan siber, penggunaan gajet dan keselamatan kanak-kanak di alam siber, termasuk Forum Keibubapaan Digital dan Perlindungan Dalam Talian Kanak-Kanak.

Katanya, kempen kesedaran bersama NGO berkaitan penggunaan gajet secara positif seperti Masa Tanpa Gajet untuk menyedarkan masyarakat supaya memperuntukkan masa berkualiti bersama keluarga.

Sementara itu, katanya JKM mengadakan Program Keselamatan Kanak-Kanak Sahabat BIJAK: Selamat Dan Lindung dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, agensi kerajaan dan NGO.

Menurutnya, program ini bertujuan menyebar luas maklumat berkaitan aspek keselamatan kanak-kanak, termasuk literasi undang-undang dengan seramai 96,797 kanak-kanak dari 414 sekolah mendapat manfaat sehingga tahun lalu.

Katanya, ISM pula mengadakan siri Seminar Keselamatan Kanak-Kanak “Sentiasa Berwaspada dan Berjaga-jaga” dengan kerjasama JKM. – HARAKAHDAILY 20/12/21

- Advertisement -