Iktibar kisah Qarun

- Advertisement -

KHUTBAH hari ini adalah bersempena Bulan Zakat Kebangsaan Tahun 2021, telah disampaikan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan tajuk ‘Iktibar Kisah Qarun’

Sebagai Muslim, kita wajib menunaikan zakat. Ia merupakan suatu amalan yang dapat menyucikan diri dan harta yang kita miliki. Pensyariatannya bertujuan menyuburkan keadilan dalam kehidupan kita dan membela golongan yang diuji dengan kemiskinan dan kesusahan. 

- Advertisement -

Ia bukan sahaja dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan kepada golongan asnaf, malah ia menyucikan harta dan jiwa bagi pembayar-pembayar zakat.

Pensyariatan menunaikan zakat ini disebut dalam Surah al-Taubah ayat 103 (yang bermaksud): 

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Cuba kita kenang betapa banyaknya nikmat yang Allah kurniakan kepada kita sepanjang tahun ini. Walaupun berlaku pelbagai ujian, namun Allah S.W.T tidak pernah lupa memberi kita kecukupan rezeki. 

Mari kita sama-sama mengambil iktibar daripada kisah Qarun yang mengingkari Allah S.W.T dengan hartanya yang Allah rakamkan dalam al-Quran. Qarun terkenal dengan hartanya yang bertimbun namun akhirnya hartanya itu ditenggelami bumi dek kerana kemegahannya terhadap dirinya dan keangkuhannya daripada mentaati perintah Allah S.W.T.

Mengakhiri khutbah, saya mengingatkan diri saya dan sidang Jumaat supaya menunaikan kewajipan zakat masing-masing dan meyakini institusi zakat sebagai institusi yang berintegriti, bersistematik dan telus yang menguruskan zakat di Malaysia.

Semoga kita terus dilimpahi rahmat-Nya dan turut memberi inspirasi kepada para asnaf untuk keluar daripada kemelut kehidupan mereka tidak kira dalam apa jua keadaan sekalipun.

Mudah-mudahan lebih ramai asnaf yang berjiwa takwa dapat dilahirkan dan mampu mentransformasi diri mereka menjadi insan yang cemerlang.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 17/12/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/412578727095840/posts/466462735040772

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!