Kerajaan rancang tambah kuota penyelia KAFA

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan merancang menambah kuota penyelia di bawah program Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) untuk menambah baik program itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ustaz Idris Ahmad, berkata tindakan itu selari dengan penambahan guru KAFA secara berfasa mulai tahun hadapan sehingga 2026.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan dari semasa ke semasa menambah baik program KAFA, termasuk penambahbaikan penyelia KAFA dan kebajikan mereka.

“Kini, kita mempunyai seramai 383 orang penyelia KAFA yang berperanan untuk menyelia guru KAFA seramai 35,000 orang,” katanya ketika menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Idris, kerajaan juga sedang menyediakan hala tuju Program KAFA yang bertujuan memperkasa program KAFA sedia ada termasuk menambah baik aspek perkhidmatan Penyelia KAFA.

Katanya, penambahbaikan itu bakal dilaksanakan dengan menumpukan kepada elemen peningkatan profesionalisme dan jaminan kebajikan.

Justeru itu, katanya bagi merealisasikan kesungguhan kerajaan terhadap usaha tersebut, JAKIM telah menjalankan sesi perundingan bersama agensi Persekutuan yang berkaitan bagi mencari kaedah terbaik berhubung pelantikan penyelia KAFA ke jawatan tetap. – HARAKAHDAILY 16/12/2021

- Advertisement -