PRU15 dalam masa terdekat tidak selaras hasrat rakyat

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH:
Pilihan Raya Umum ke-15 ((PRU15) tidak sesuai dilakukan dalam masa terdekat kerana rakyat sedang keletihan dan bergelut dengan pelbagai masalah, kata Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman.

Menurut beliau cadangan agar PRU15 diadakan segera sangat tidak praktikal dan tidak selaras dengan hasrat rakyat.

“Sebagai contoh kita di Melaka ni baru sahaja selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan lepas. Tak hilang penat lagi. Pada masa ini pula Sarawak sedang bergelut dengan PRN juga.

- Advertisement -

“Kalau PRU15 diadakan dalam masa terdekat, Melaka dan Sarawak sekali lagi akan terpaksa menghadap pilihan raya parlimen pula. Adakah ahli-ahli politik ini tidak ada rasa simpati pada rakyat?” soalnya.

Menurut beliau sepatutnya kerajaan-kerajaan negeri dan Persekutuan menumpukan kepada menyelesaikan masalah rakyat seperti isu kenaikan harga dan masalah susulan kepada pandemik Covid-19.

“Kita semua tahu rakyat sedang bergelut dengan masalah. Tumpukanlah pada penyelesaian masalah. Ia bukan satu tugas mudah. Perlu kepada tumpuan seluruh jentera kerajaan. Dan bukan boleh selesai dalam satu dua minggu atau satu dua bulan.

“Jika buat PRU dalam masa terdekat nanti ahli-ahli politik yang jadi menteri, yang jadi timbalan menteri, ahli-ahli Parlimen, exco-exco semuanya akan sibuk memikirkan bagaimana mereka nak menang pilihan raya,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut beliau, semua pihak harus sedar bahawa mungkin akan timbul banyak lagi masalah pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melibatkan isu ekonomi dan kemanusiaan yang memerlukan perhatian ahli-ahli politik dan kerajaan.

“Inflasi yang tiba-tiba naik mendadak ini adalah antara kesan-kesan yang berlaku akibat PKP. Dan PKP itu pula sesuatu yang kita perlu lakukan dahulu untuk membendung Covid-19. Kalau tiada PKP pasti lagi teruk.

“Dan sekarang kita kena selesaikan masalah-masalah ini dengan tumpuan yang sepenuhnya. Berapa ramai anak-anak yatim akibat ibu bapa yang meninggal kerana Covid-19 yang memerlukan bantuan dan perhatian. Semua ini yang lebih utama,” ujar beliau.

Tambahnya, jumlah keluar mengundi yang rendah pada PRN Melaka lepas juga menunjukkan bahawa rakyat tidak mengalu-alukan pilihan raya pada masa ini.

“Rakyat marah. Namun ramai yang keluar mengundi itu kerana mereka juga ada ada tanggungjawab. Tetapi kita tidak boleh pula salahkan mereka yang tidak keluar mengundi. Mereka bimbang keselamatan nyawa mereka. Ini bukan soal main-main,” ujarnya.

Justeru, menurut beliau, tidak sewajarnya PRU15 diadakan dalam masa terdekat sekiranya kerajaan benar-benar prihatin dengan masalah dan kebimbangan rakyat. – HARAKAHDAILY 16/12/2021

- Advertisement -