Had umur minimum perkahwinan perempuan Islam kekal 16 tahun

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan berpendirian bahawa tiada keperluan untuk meminda had umur minimum perkahwinan bagi perempuan beragama Islam yang kini adalah 16 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ustaz Idris Ahmad, berkata kerajaan sebelum ini telah mengambil langkah mengkaji cadangan supaya menaikkan umur minimum perkahwinan bagi perempuan beragama Islam daripada 16 kepada 18 tahun.

- Advertisement -

Katanya, kajian ini termasuk membentangkan cadangan tersebut dalam pelbagai forum yang melibatkan negeri seperti Majlis Dialog Undang-Undang dan Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil kerana kuasa perundangan berkaitan perkahwinan orang Islam merupakan bidang kuasa negeri-negeri.

“Berdasarkan maklum balas dan pandangan yang diterima, kebanyakan negeri secara dasar bersetuju mengekalkan had umur sedia ada seperti yang termaktub dalam undang-undang keluarga Islam negeri masing-masing.

“Setelah mengambil kira maklum balas dan pandangan negeri-negeri, kerajaan melalui Mesyuarat Sekretariat Dasar Perundangan Syariah JAKIM Bil. 1/2021 pada 22 September lalu, berpendirian bahawa tiada keperluan untuk meminda had umur minimum perkahwinan bagi perempuan beragama Islam,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) yang meminta Perdana Menteri menyatakan usaha kerajaan untuk meningkatkan umur perkahwinan kepada 18 tahun dan langkah-langkah lain untuk membanteras perkahwinan bawah umur.

Idris berkata, pada 7 Ogos 2018, Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa, dengan melihat kepada kaedah usul fiqh seperti masalahah, istihsan, sadd az-zaraie, zuruf serta adat, sewajarnya perkahwinan di bawah umur mengikut undang-undang hanya dibenarkan bagi kes tertentu setelah menepati syarat yang ketat dan diperakui oleh mahkamah.

Di bawah prinsip siyasah syar’iyyah, katanya kerajaan berkuasa menetapkan dasar mengehadkan umur minimum perkahwinan kerana termasuk dalam kategori mengikat perkara yang harus dengan suatu maslahat atau kepentingan bagi menegakkan keadilan dan bukan bertujuan mengharamkan apa yang Allah halalkan.

Sehubungan itu, katanya Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), mengambil langkah untuk memastikan pihak yang memohon untuk berkahwin di bawah umur melalui proses penilaian yang ketat untuk memastikan kepentingan semua pihak yang terlibat dipelihara.

Katanya, JKSM telah mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Permohonan Perkahwinan Bawah Umur melalui Surat Pekeliling Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Bilangan 1 Tahun 2018 yang berkuat kuasa pada 28 September 2018.

Sementara itu, katanya berdasarkan statistik JKSM bagi perbandingan jumlah kelulusan kes permohonan kahwin bawah umur orang Islam yang dijana melalui sistem E-Syariah tiga tahun sebelum penguatkuasaan SOP Permohonan Kahwin Bawah Umur, iaitu antara 1 September 2015 hingga 31 Ogos 2018, jumlah kelulusan bagi seluruh negeri adalah sebanyak 2,885 kes.

“Jumlah kelulusan kes permohonan kahwin bawah umur orang Islam tiga tahun selepas penguatkuasaan SOP Permohonan Kahwin Bawah Umur, iaitu antara 1 September 2018 hingga 31 Oktober lalu adalah sebanyak 2,098 kes,” katanya.

Beliau berkata, perbandingan jumlah yang dicatatkan dalam tempoh tiga tahun sebelum dan selepas penguatkuasaan SOP Permohonan Kahwin Bawah Umur, menunjukkan pengurangan sebanyak 787 kes. – HARAKAHDAILY 16/12/21

- Advertisement -