Cikgu Hashim dapat maklum balas positif pengundi

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

MELAKA:
Calon Perikatan Nasional daripada PAS, Abu Hashim Abdul Samad mendapat maklum balas yang positif daripada para pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau yang bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning berkata, antara kaedah berkempen ialah pergi ke masjid dan surau untuk solat berjemaah.

“Alhamdulillah, saya mendapat maklum balas yang positif. Kaedah saya berkempen ialah saya pergi ke masjid dan surau untuk solat jemaah.

“Saya berjumpa rakyat dengan berjalan kaki, terserempak, berbual dan semasa minum pagi,” ujarnya kepada Harakahdaily.

- Advertisement -

Menurutnya, ada dalam kalangan yang bertemu beliau mengatakan hasrat mereka kali ini untuk mengundi mengikut personaliti calon.

Sehubungan itu, beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Hashim berharap Allah membuka hati para pengundi untuk menyokongnya pada hari mengundi 20 Novermber ini.

“Saya memang sangat berharap mereka membuat perubahan dan memilih calon yang terbaik supaya dapat melakukan perubahan atau pembaharuan meliputi semua kategori pengundi,” katanya lagi.

Mengenai keyakinan untuk menang, beliau menegaskan Perikatan Nasional boleh menang dengan syarat bekerja keras.

Sebagai orang kuat dalam bidang Pendidikan dan ditanya wajarkah sekiranya pendidikan politik diterapkan di sekolah, beliau berpendapat bahawa penerapan itu bukan hanya berlaku di sekolah sahaja

“Ia sebenarnya berlaku di pelbagai tempat. Ilmu politik dalam Islam ini bagi saya, Islam ini adalah cara hidup.

“Jadi, politik pun cara hidup, kehidupan seharian. Jadi seharusnya pengetahuan politik ini diberi pengetahuan yang betul,” tambahnya.

Cikgu Hashim mengambil contoh bagaimana Rasulullah SAW berpolitik melalui sahsiah politik.

Katanya, Rasulullah SAW sudah menunjukkan bagaimana politik sebenarnya dan cara hendak memilih pemimpin.

“Sepatutnya perkara sebegini diberi pendedahan kepada semua kategori masyarakat dan sebaiknya bermula di sekolah, seterusnya di masjid-masjid.

“Ia wajar dijadikan salah satu kurikulum penting, atau bidang ilmu yang perlu diberi pendedahan iaitu sahsiah politik,” katanya lagi.

Sepatutnya, ujar beliau pendidikan politik memang diajar secara rasmi dalam pendidikan.

“Jika tidak di sekolah, mungkin di peringkat pengajian tinggi, sekurang-kurangnya ada subjek itu.

“Sekarang, apabila timbul Undi 18, kita bimbang dari mana mereka mendapat pendedahan selain dari media sosial.

“Sepatutnya ini diterap daripada awal supaya kita dapat mendidik generasi awal dan gambaran asas bagaimana nak hendak memilih pemimpin,” ujarnya.

Selain beliau, tujuh lagi calon daripada PAS yang bertanding menggunakan lambang Perikatan Nasional ialah Aziah Mohd Sa’ad (DUN Kuala Linggi), Bakri Jamaluddin (Kelebang), Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Datuk Kamarudin Sidek (Duyong), Ja’afar Othman (Durian Tunggal), Ahmad Bilal Rahaudin (Serkam) dan Abd Alim Shapie (Merlimau).

Seramai 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 20 November manakala undi awal pada 16 November. – HARAKAHDAILY 18/11/2021

- Advertisement -