Politik ekstrem: Presiden PAS tidak tuding pada Umno

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin meminta Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin tidak menanggapi secara salah ucapan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Jelas beliau, politik ekstrem disebut Presiden PAS bukanlah dituding kepada BN atau Umno, malah tiada langsung nama parti politik yang dipetik dalam ucapan Tuan Guru Abdul Hadi pada Pentas PRN Melaka secara Facebook live, 11 November baru-baru ini.

“Politik ekstrem yang dimaksudkan ialah politik yang merungkai tonggak Perlembagaan, membakar sentimen perkauman melampau, menghina Jalur Gemilang, menghidupkan dakyah komunis, menghalalkan LGBT, mendukung demokrasi liberal.

“(Juga) melahap rasuah, menyeleweng dana awam serta menghina Islam dan bangsa Melayu. Menggunakan nama rakyat untuk mengisi kantung sendiri dan kroni jugalah adalah politik ekstrem kerana telah mengakitbatkan rakyat sengsara.

“Nasihat saya kepada Dato’ Seri Khaled Nordin, janganlah mencemarkan air di hulu sungai kerana keruhnya akan sampai ke muara. Selagi tidak dibuang punca maka airnya tidak boleh dirawat untuk kegunaan orang lain.

“Jangan melenting bila tidak dicuit dan berasa pedas tanpa makan cili. Jangan terus berasa ragu andai niat asalnya untuk ukhwah kukuh menyatu. Marilah kita perkukuhkan muafakat, pertahankan perikatan,” seru beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Khaled memetik laporan MalaysiaKini terhadap Presiden PAS itu yang dikatakan menyebut bahawa PN adalah satu pakatan kesederhanaan yang ditubuhkan sebagai ‘perikatan menentang parti-parti ekstrem’.

“Memandangkan BN adalah parti yang tidak berada dalam pakatan tersebut, secara tidak langsung beliau (Abdul Hadi) turut bermaksud BN adalah parti yang ekstrem. Sudah tentu pandangan begini tidak benar. BN bukan parti yang ekstrem atau menyokong ekstremisme.

“Jika tidak, mana mungkin selama 61 tahun rakyat Malaysia memilih BN dan bukannya PAS. Saya rasa semua orang tahu jawapannya. PAS tidak pernah menang besar dalam mana-mana PRU, kerana kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia umumnya, PAS adalah parti dengan ideologi Islam yang ekstrem.

“Mereka tidak yakin PAS boleh menawarkan solusi untuk Malaysia dengan komposisi kemajmukannya yang kompleks,” ujar beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor membidas PAS sebagai tidak pernah diterima mewakili majoriti orang Melayu.

Presiden PAS yang juga Timbalan Pengerusi PN dalam ucapannya menyentuh sejarah sejak negara ini mencapai kemerdekaan telah menggubal Perlembagaan Persekutuan di mana memberi pelbagai hak kepada masyarakat majmuk.

Namun katanya, Pakatan Harapan apabila menang cuba merungkai dan mencabar Perlembagaan termasuk perpaduan kaum hingga PAS mengambil langkah membuat perubahan secara demokrasi dengan mengumpulkan wakil-wakil rakyat.

“Mula-mula PAS dengan Umno. Tak cukup PAS dengan Umno mesti Bersatu. Tak cukup dengan Muafakat Nasional, mesti Perikatan Nasional dan parti-parti lain. Kita ubah buat Perikatan Nasional. Satu pendekatan baru mengumpulkan parti-parti yang  tidak ekstrem, yang boleh bersatu, yang boleh bekerjasama.

“Mesti yang tidak ekstrem, parti ekstrem kita tolak, tak boleh terima ekstrem. Yang nak rungkai perlembagaan, kita tolak, kita tak terima. Sekarang nyata dan terang PH nak rungkai Perlembagaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/11/2021

- Advertisement -
- Advertisement -