Jentera Muslimat diperkasa, akar umbi disantuni

- Advertisement -

BENTONG: Dewan Muslimat PAS Kawasan Bentong dan PAS DUN Ketari telah mengadakan ziarah mahabah bertemu ahli-ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Cawangan (JMC) Taman Kolej, di sini semalam.

Program ini merupakan siri jelajah ke semua JMC dalam mengeratkan ukhuwah sesama ahli dan pimpinan serta meneliti perkembangan semasa dan penyusunan struktur parti di peringkat akar umbi.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Bentong, Yusma Yusuf berkata, ziarah dilaksanakan ini bagi memastikan kewujudan JMC agar dapat difungsikan bersama selaras PAS Cawangan dan Muslimat PAS Kawasan.

“Kita nak pastikan dengan adanya ahli-ahli JMC, setiap gerak kerja Muslimat ke akar umbi akan dapat dilaksanakan melalui peranan JMC atau kita nak dapatkan sesuatu bermula dari peringkat Cawangan.

“Ahli-ahli JMC walaupun mereka itu juga bekerjaya atau suri rumah, isteri mahupun ibu, mereka hakikatnya sangat penting dalam struktur parti. Hatta berada dalam rumah pun, mereka adalah mata, telinga dan mulut parti.

“Apatah lagi kalau mereka dapat keluar menjalankan peranan-peranan tertentu dengan izin ibu ayah atau suami kerana menjalankan agenda-agenda parti. Ia sudah cukup membantu menjayakan peranan Muslimat khususnya,” ujar beliau.

Penyelaras DUN Ketari, Ustaz Roslan Md Esa pula dalam pertemuan tersebut menyuntik taujihat untuk ahli-ahli JMC menggerakkan khidmat mereka kepada jemaah dari segala arahan dan posisi yang telah ditentukan.

“Kita kena sentiasa ingat kita berjuang kerana mengejar redha Ilahi. Jangan kita mengikuti perjuangan kerana manusia,” ujarnya menyeru keikhlasan dalam melaksanakan tuntutan Islam ke atas masyarakat setempat.

Naib Ketua PAS Taman Kolej, Hasnizam Johar yang turut bersama menyatakan bahawa ahli-ahli JMC Taman Kolej sememangnya banyak membantu merancakkan gerak kerja di Cawangan tersebut.

Bersempena program ini, rombongan turut mengadakan kunjungan kepada beberapa penduduk setempat menyampaikan sumbangan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) dan Pertubuhan Cakne Rakyat.

Pemberian berupa bakul makanan itu disampaikan Yusma dan Ustaz Roslan kepada penduduk yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dan kalangan uzur atau sakit. – HARAKAHDAILY 14/11/2021

- Advertisement -