Calon PN ikrar tolak rasuah

- Advertisement -

SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) berikrar menentang salah guna kuasa dan rasuah serta akan memberi layanan yang adil kepada semua pihak.

Sehubungan itu kesemua 28 calon PN yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diwajibkan menandatangani aku janji sebagai komitmen memerangi rasuah.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai menzahirkan PN komited memerangi rasuah, calon disediakan aku janji dan perlu ditandatangani mereka.

Katanya, langkah berkenaan selari dengan pendirian yang didukung PN selama ini.

- Advertisement -

“Ia menunjukkan komitmen gabungan PN memerangi rasuah. Pendirian PN menentang penyalahgunaan kuasa dan segala bentuk rasuah.

“Ini adalah jaminan PN termasuk untuk rakyat Melaka. Kita memberitahu rakyat bahawa kerajaan yang dibentuk selepas PRN ini merupakan Kerajaan PN Melaka dengan dasar berteras prinsip menolak rasuah,” katanya pada Program Pentas PRN Melaka PN di sini malam tadi.

Program itu disiarkan menerusi Facebook Muhyiddin.

Hadir sama Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan Dato’ Dr Dominic Lau Hoe Chai dan pemimpin kanan komponen PN.

Muhyiddin juga berkata manifesto PN bagi PRN Melaka akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Presiden Bersatu turut berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi sedikit kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) PRN Melaka dengan membenarkan calon untuk bertemu pengundi.

“Saya juga berharap semua calon yang bertanding diberi peluang untuk muncul di kaca televisyen bagi memperkenalkan diri masing-masing,” katanya.

Sebelum ini pemimpin PAS Melaka mencadangkan media elektronik memberi ruang kepada setiap parti dan calon yang bertanding muncul di kaca televisyen untuk memperkenalkan diri dan misi kepada pengundi.

Malah cadangan itu mendapat respon positif Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Hari mengundi PRN Melaka akan diadakan pada 20 November ini, manakala pengundian awal 16 November. PRN tersebut diadakan berikutan pembubaran Dun pada 4 Oktober lalu selepas empat Adun kerajaan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.– HARAKAHDAILY 12/11/2021

- Advertisement -