Kelas pendapatan isi rumah di Malaysia kini berubah

Ekoran daripada pandemik COVID-19 yang melanda

- Advertisement -

PENULARAN pandemik COVID-19 telah memberi impak luar jangka kepada pendapatan isi rumah dan seterusnya mengubah struktur kumpulan isi rumah. Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengeluarkan Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020 dan mendapati bahawa pendapatan isi rumah pada tahun lalu mengalami kemerosotan akibat pandemik COVID-19. Berdasarkan laporan ini, dianggarkan bilangan isi rumah miskin meningkat kepada 639.8 ribu isi rumah pada tahun 2020 berbanding 405.4 ribu isi rumah pada tahun 2019.

Menurut YBhg. Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia, pendapatan isi rumah kasar bulanan purata menurun 10.3 peratus untuk merekodkan RM7,089 berbanding RM7,901 pada tahun 2019. Penurunan ini berpunca dek kerana isi rumah atau individu yang mengalami kehilangan atau pengurangan pendapatan terutama mereka yang berstatus pekerja, bekerja sendiri dan lain-lain. Tambahan pula, pengurangan ini bukan sahaja akibat daripada kehilangan pekerjaan malah turut berpunca daripada pengurangan jam bekerja dan peningkatan guna tenaga tidak penuh berkaitan dengan kemahiran.

- Advertisement -

Rentetan daripada situasi ini, Malaysia sudah ada kelas pendapatan yang baharu iaitu B50. Ini bermaksud 50 peratus rakyat Malaysia kini tergolong dalam golongan berpendapatan rendah dan bukan lagi 40 peratus. Tambahan lagi, ada juga golongan T20 yang sudah jatuh kepada M40, malah ada yang terus jatuh kepada B40. Hakikatnya, ramai rakyat Malaysia sudah menjadi ‘miskin baru’, kesan daripada kemerosotan ekonomi. 

Bagi membendung situasi ini, kerajaan telah memperkenalkan program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) iaitu program sokongan bantuan bayaran balik pinjaman komprehensif dan ditawarkan kepada pelanggan B50 yang terjejas. Bagi merealisasikan program URUS ini, sektor perbankan bersama-sama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah bekerjasama dalam merangka program ini. 

Menurut Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob kemudahan yang ditawarkan ialah pengecualian faedah untuk tiga bulan, pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan termasuk pengurangan kadar faedah. Dengan pemberian tempoh ini diharapkan agar pelanggan dengan pinjaman atau pembiayaan dan kad kredit peribadi tanpa jaminan boleh mendapat manfaat daripada kadar faedah yang dikurangkan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka. 

Melalui inisiatif sektor perbankan ini dapat kita lihat bahawa kerajaan jelas mencerminkan semangat Keluarga Malaysia dan seterusnya melengkapkan usaha kerajaan membantu golongan peminjam B50 yang juga sebelum ini telah mendapat manfaat daripada program moratorium yang diumumkan di bawah pakej-pakej bantuan dan rangsangan kerajaan sejak Mac 2020. Oleh itu, matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur, inklusif dan mampan dapat direalisasikan melalui ‘whole-of-nation’ dan penyatuan usaha seluruh rakyat Malaysia.

Sumber rujukan:

1. https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cthemeByCat&cat=493&bul_id=VTNHRkdiZkFzenBNd1Y1dmg2UUlrZz09&menu_id=amVoWU54UTl0a21NWmdhMjFMMWcyZz09
2. https://www.sinarharian.com.my/article/154125/BERITA/Nasional/Pendapatan-purata-isi-rumah-merosot-akibat-pandemik-Covid-19
3. https://mypt3.com/isi-rumah-b40-malaysia
4. https://www.sinarharian.com.my/article/166774/BERITA/Nasional/Kerajaan-umum-pelaksanaan-Urus-bantu-peminjam-B50-terjejas

QGENANALYSTS – HARAKAHDAILY 3/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/2284919521796917/posts/3036828473272681/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -