Pendidikan agama teras pembinaan Keluarga Malaysia

- Advertisement -

PANDEMIK COVID-19 bukan sahaja meragut nyawa manusia. Impaknya sehingga rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan, menjejaskan kesihatan mental dan ramai juga anak-anak yang kurang bernasib baik ketinggalan dalam pendidikan.

Alhamdulillah, Malaysia telah menjadi antara negara tertinggi dari sudut suntikan vaksin per 100 penduduk pada Ogos yang lalu menunjukkan negara dalam fasa terbaik untuk transisi ke era endemik, seterusnya kembali kepada kehidupan yang normal kelak.

- Advertisement -

Ketika ini, kerajaan serius untuk terus memimpin negara bangkit daripada situasi kritikal sebelum ini. Belanjawan 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ memberikan suatu signal jelas terhadap hala tuju yang direncanakan oleh kerajaan mendepani era endemik yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi.

Membina kembali negara pasca pandemik perlu dimulakan dengan asas yang betul. Oleh sebab itu, pendidikan agama telah diberikan penekanan yang serius dalam belanjawan kali ini, bagi menjayakan salah satu daripada teras utama dalam belanjawan iaitu ‘kehidupan rakyat yang sejahtera’. 

Gagasan ini dilihat menepati firman Allah S.W.T dalam Surah Yunus: 22-23 yang bermaksud;

“Dialah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan pelbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik dan mereka pun bersuka cita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata) : Demi sesungguhnya! Jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur.

“Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri. (Dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia (bagi sementara waktu sahaja); kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa yang kamu telah lakukan”. 

Keluar daripada ujian pandemik yang berat ini adalah satu rahmat kurniaan Allah S.W.T, yang menuntut kepada ketaatan sebagai sebuah tanda syukur. Ketaatan kepada Allah S.W.T pula hanya boleh dibentuk melalui ilmu agama.

Oleh yang demikian, demi kemakmuran dan kesejahteraan yang berterusan, sebahagian orientasi Belanjawan 2022 masih berkisar terhadap aspek bantuan dan sokongan terhadap institusi agama sebagai suatu langkah pemulihan pasca pandemik. 

Hal ini dapat dilihat melalui peruntukan RM140 juta yang disasarkan bagi tujuan penyelenggaraan dan pembaikan sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok berdaftar, di mana terdapat peningkatan peruntukan sebanyak 40 juta berbanding pada tahun 2021.

Selain itu, RM65 juta akan diberikan bagi tujuan pembinaan Sekolah Menengah Agama di Wilayah Persekutuan Labuan. 

Penambahan 1,000 orang guru Takmir JAKIM untuk meluaskan skop pengajaran kepada agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan bahawa pendidikan agama perlu diluaskan aksesnya kepada lebih ramai lapisan masyarakat. 

Kerajaan juga tidak lupa kepada para pendidik masyarakat dengan meneruskan pemberian khas one-off sebanyak RM500 seorang kepada 70,000 orang imam, bilal, siak, noja, marbut, guru takmir dan guru KAFA.

Keseluruhannya, pembentangan Belanjawan 2022 ini benar-benar mengangkat keprihatinan Kerajaan untuk memberikan segala yang terbaik kepada rakyat di negara ini termasuklah dalam aspek pendidikan agama, yang akan menjadi pemangkin kepada pelan sokongan pasca pandemik yang lain.

Hambatan pandemik yang penuh dengan duka dan sengsara menjadi sebahagian daripada sejarah kepada rakyat dan negara.

Kini, masa untuk bersama-sama keluar kepada sebuah kehidupan yang makmur dan sejahtera di bawah lembayung agama, sesuai dengan tema ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 1/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=436110358076010&id=100050311487174

- Advertisement -