Rakyat Melaka sangat mengharapkan perpaduan

- Advertisement -

MASJID TANAH: Ketua Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaluddin, berkata rakyat sangat mengharapkan untuk melihat perpaduan berlaku di negeri ini.

- Advertisement -

Sehubungan itu, katanya, antara fokus PAS negeri untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini adalah isu perpaduan, integriti selain isu banjir kilat yang berlaku baru-baru ini.

“Rakyat sangat harapkan perpaduan, ini saya dapati dengan perbualan bersama penduduk, memang mereka mahu lihat perpaduan,” ujarnya ketika ditemui di Markas PAS Kawasan Masjid Tanah, di sini, petang semalam.

Justeru, beliau optimis dengan wujudnya perpaduan dalam kalangan pemimpin politik Melayu Islam di negeri ini akan menatijahkan kemenangan pada PRN nanti.

Tambahnya, dengan perpaduan yang berlaku itu, kuasa politik Melayu Islam dapat dikekalkan melalui PRN untuk meneruskan pentadbiran negeri.

Ini, katanya rakyat sudah mempunyai pengalaman dengan Pakatan Harapan negeri sebelum ini yang menyebabkan mereka kecewa dengan corak pemerintahan itu.

Menyentuh PAS negeri pula, beliau berkata, parti itu semakin dekat dengan rakyat walaupun hanya diberi peranan yang kecil dalam pentadbiran kerajaan di Melaka.

Menurutnya, rakyat dapat menilai sendiri peranan yang dilakukan oleh pemimpin PAS sama ada di peringkat pentadbiran negeri, kampung mahupun institusi masyarakat seperti masjid.

“Saya yakin masyarakat boleh menerima kita (PAS), sebab di Melaka, pengundi atas pagar itu lebih banyak dan kita tahu mereka adalah penentu kemenangan,” katanya

Melalui pemerhatiannya, kata Bakri, pengundi muda mudah bosan dengan politik adu domba dan beliau optimis golongan itu lebih berminat dengan politik solusi.

Katanya, pengundi muda lebih sukakan situasi politik seperti yang ditonjolkan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dan Kanada Justin Trudeau yang menawarkan politik solusi kepada rakyatnya.

“Konsep Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diperkenalkan oleh Tuan Guru Presiden PAS beberapa tahun lalu adalah sangat relevan dalam menyelesaikan kancah politik tanah air. BPMS ini menawarkan politik solusi yang diinginkan pengundi muda.

“Begitulah peranan PAS di sini, iaitu menjadi pendamai dalam kegawatan politik di Melaka,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/-10/2021

- Advertisement -