MADA sambut baik Bajet 2022 program Takaful Peladang

- Advertisement -

LEMBAGA Kemajuan Pertanian Muda – MADA menyambut baik pembentangan Bajet 2022 dalam sektor pertanian yang dibentangkan oleh Tengku Dato’ Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia. 

Dalam pembentangan itu termasuk kerajaan telah mencadangkan bajet sebanyak RM5 juta bagi program di bawah Skim Perlindungan Takaful Smart Card Peladang yang dapat dimanfaatkan oleh semua ahli peladang berdaftar di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan di seluruh Malaysia.

- Advertisement -

Di Kawasan Muda terdapat seramai 57,635 orang peladang mengusahakan sawah seluas 100,658 hektar di dalam pentadbiran 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA.

Kad Pintar Keluarga Peladang (PELADANG – i) ini mempunyai gabungan ciri-ciri tiga dalam satu menerusi kad debit Co-Brand Agrobank.  PELADANG – i juga dijadikan sebagai kad identiti berkonsepkan transaksi perbankan moden yang turut dilengkapi manfaat perlindungan Takaful sehingga RM5,000 dapat memberi manfaat tambahan kepada peladang-peladang di Kawasan Muda.

Selain itu, MADA juga turut menyambut baik cadangan kerajaan untuk terus memacu permodenan sektor pertanian dalam meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan serta menjana pendapatan lebih tinggi dan menarik lebih ramai generasi muda agropreneur. 

Pengumuman pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian dan perikanan akan diteruskan dengan peruntukkan sebanyak 1.7 bilion ringgit antaranya 1.5 bilion ringgit bagi subsidi benih, baja, harga dan pengeluaran padi termasuk subsidi padi huma sebanyak 40 juta ringgit dapat terus membantu pesawah di dalam mengurangkan kos operasi ladang.

Pembentangan Bajet 2022 membuktikan keprihatinan Kerajaan Keluarga Malaysia dalam mentransformasikan sektor pertanian supaya menjadi sektor yang moden dan dinamik serta negara lebih kompetitif sebagai pengeluar utama makanan sekali gus menjadikan sektor pertanian sebagai salah satu jentera pertumbuhan ekonomi negara.

Dikeluarkan oleh;

YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Pengerusi
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda – HARAKAHDAILY 31/10/2021

- Advertisement -