RM11.4 bilion perkasakan agenda Bumiputera

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM11.4 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2022 untuk memastikan agenda pemerkasaan Bumiputera terus diberi keutamaan dalam usaha untuk merapatkan jurang antara kaum di negara ini.

Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata jumlah itu disediakan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah payung pembangunan Bumiputera.

- Advertisement -

Daripada jumlah itu, katanya RM6.6 bilion disediakan bagi kemudahan pendidikan anak-anak Bumiputera, antaranya di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Yayasan Peneraju.

“Peruntukan itu disediakan untuk pinjaman pendidikan, menaik taraf program sijil ke diploma, selain usaha melahirkan profesional dalam kalangan Bumiputera di bidang perubatan, kejuruteraan dan kewangan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM4.8 bilion pula diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), TEKUN Nasional dan Dana Kemakmuran Bumiputera.

Sebagai usaha meningkatkan penglibatan syarikat `anchor’ dalam membangunkan vendor Bumiputera tempatan, katanya potongan cukai dua kali bagi perbelanjaan operasi yang layak dinaikkan daripada sehingga RM300,000 kepada sehingga RM500,000 dan dilanjutkan bagi tempoh lima tahun sehingga 31 Disember 2025.

Katanya, bagi menggalakkan penyertaan belia Bumiputera dalam melaksanakan projek berskala kecil perolehan kerajaan, sebanyak RM200 juta akan disediakan.

“Sebagai tambahan, kerajaan melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan mewujudkan `accelerator programme’, terutama kepada kontraktor belia G1 hingga G4 melalui kursus peningkatan kapasiti dan `on-the-job training’ dengan peruntukan RM10 juta,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/21

- Advertisement -