Lembah Klang, Melaka beralih ke Fasa Empat Isnin ini

KUALA LUMPUR: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor serta Melaka akan beralih daripada Fasa Tiga kepada Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Isnin ini (18 Okt).

Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah pula akan beralih daripada Fasa Dua kepada Fasa Tiga berkuat kuasa tarikh sama.

Advertisement

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikannya hari ini.

Beliau berkata dengan peralihan fasa bagi negeri-negeri tersebut, Malaysia secara keseluruhannya kini beralih ke Fasa Tiga.

“Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dan peratusan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa,” katanya.

Perdana Menteri berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa Tiga dan Empat boleh dilayari di laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN), www.mkn.gov.my.

Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan laporan kes positif Covid-19 harian yang dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM), negara mencatatkan bilangan kes di bawah 10,000 kes sehari bagi tempoh dua minggu berturut-turut.

Katanya kadar kebolehjangkitan atau R-naught juga terus mencatatkan penurunan dengan angka di bawah paras 1.0 iaitu 0.86.

“Sehingga semalam, kadar vaksinasi populasi dewasa bagi dos pertama adalah 95 peratus manakala jumlah yang menerima dua dos vaksin pula seramai 91.2 peratus dan dijangka terus meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata mesyuarat jawatankuasa khas itu juga bersetuju untuk  melaksanakan program rintis protokol test and release (T&R) dengan syarat perjalanan atau itinery yang ketat dan terhad bagi lawatan rasmi kepada kumpulan pengembara yang dikenal pasti.

Ia membabitkan pembesar negara, Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri, Exco kerajaan negeri, Ahli-ahli Parlimen dan pegawai kerajaan.

“Pelaksanaan program rintis ini akan berkuat kuasa 18 Okt dan akan diperluaskan kepada pengembara perniagaan dalam waktu terdekat,” katanya.

Menurutnya antara syarat yang dikenakan adalah mengemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan bersama dokumen sokongan kepada MKN dan KKM bagi tujuan kelulusan.

Selain itu, menjalani ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) tiga hari sebelum berlepas pulang ke Malaysia dan setibanya di mana-mana pintu masuk negara.

Ismail Sabri berkata syarat-syarat berkenaan terhad kepada pengembara yang tiba dari negara berisiko rendah sahaja serta terpakai kepada individu-individu yang lengkap divaksin. – BERNAMA