PAS harap Umno-Bersatu pertahan penyatuan ummah

- Advertisement -

ARAU: PAS kekal dengan prinsip mempertahankan penyatuan ummah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata Islam menuntut ummatnya supaya bersatu termasuk mempertahankan Muafakat Nasional (MN).

“MN boleh dipertahankan sekiranya Umno mempunyai semangat untuk memperkasakan perpaduan selain perlu mengambil sikap bertolak ansur demi penyatuan Melayu Islam di negara ini.

- Advertisement -

“Bagaimanapun, PAS menegaskan tidak akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk bersama Bersatu dan parti-parti lain, selain kekal dengan prinsip mempertahan penyatuan ummah,” katanya ketika dihubungi.

Semalam Ketua Umno Arau Dato’ Seri Shahidan Kassim memberitahu Umno perlu berunding dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) jika mahu mempertahan kemenangan.

Menurutnya bagi mendapatkan kemenangan cemerlang, Umno bukan sahaja perlu berunding untuk PRN Melaka, sebaliknya ketika menghadapi PRU15.

Tuan Guru Hashim berharap kepimpinan Umno dan Bersatu supaya sentiasa mengkaji sedalam-dalamnya untuk mempertahan perpaduan ummah.

“Saya selalu mengingatkan, pertembungan tiga penjuru hanya akan menguntungkan pihak lawan yang sememangnya mahu kita berpecah.

“Jika PN dan Umno ditakdirkan kalah disebabkan pertembungan tiga penjuru, yang rugi kehidupan umat Islam dan Melayu,” katanya.

Beliau turut menegaskan PAS tidak akan membuat sebarang pilihan untuk memilih antara MN atau PN.

Menurutnya pendirian PAS masih mempertahankan penyatuan ummah melalui kerjasama dengan Bersatu dan Umno.

“Andai kata kita pilih MN dan tolak PN, PAS sendiri akan menjadi punca perpecahan penyatuan ummah. Begitu juga sebaliknya jika PAS memilih PN dan menolak MN.

“Namun jika ditakdirkan juga berlaku pertembungan, PAS mempunyai pertimbangan sendiri,” ujarnya.

Mengulas mengenai kemungkinan berlaku pertembungan tiga penjuru, beliau berkata, PAS akan berusaha mengelak pertembungan tiga penjuru membabitkan PN dan Barisan Nasional (BN).

“Peluang untuk menang dalam PRN Melaka mungkin agak sukar jika berlaku pertembungan tiga penjuru,” katanya.

Baru-baru ini Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, masih ada ruang untuk mempertahankan MN jika PAS bersedia.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, dalam keadaan sekarang, Umno perlu berdepan dengan realiti semasa meskipun ramai mengharap kerjasama itu terus dipertahankan. – HARAKAHDAILY 11/10/2021

- Advertisement -