Sangkar Sekularisme dan kemandulan akal

- Advertisement -

DI DALAM al-Quran, banyak kisah-kisah bangsa terdahulu yang dimusnahkan. Tujuan penceritaan ini bukanlah semata-mata bercerita atau berhikayat, akan tetapi ia bertujuan untuk memberi pengajaran kepada generasi hari ini. Al-Quran bukannya buku cerita, apatah lagi sebuah mitos. Akan tetapi, ia merupakan panduan untuk generasi hari ini.

Dalam menghuraikan hal ini, saya sangat bimbang terhadap fenomena pada hari ini. Iaitu, al-Quran itu tidak lagi dijadikan sebagai panduan hidup. Isi-isinya tidak diambil sebagai pengajaran. Sebaliknya orang hari ini lebih berminat untuk menggunakannya sebagai jampi, dan kadangkala hanya sekadar untuk menyenyakkan tidur.

- Advertisement -

Walaupun kedua-duanya tidaklah salah, tetapi fungsi sebenar al-Quran itu telah terabai. Pernah tak kita terfikir, kenapa fenomena ini terjadi? Fenomena ini terjadi disebabkan kejahilan yang melanda umat Islam. Kejahilan itu dibentuk dan dibina oleh Sekularisme sejak sekian lama, dan kesannya kita boleh lihat hari ini. 

Kenapa Sekular?

Sekularisme adalah sebuah ideologi yang memisahkan antara agama dan kehidupan. Asalnya ia berpunca daripada usaha Barat untuk mengenepikan pengaruh gereja dalam pemerintahan sesebuah negara. Namun, setelah sekian lama, Sekularisme sudah menjadi lebih terarah kepada meletakkan agama itu hanya dalam bab ritual dan kepercayaan sahaja.

Kesannya, Islam itu turut dilabelkan selabel dengan penentangan Barat terhadap pengaruh gereja. Islam bukanlah agama gereja. Tetapi, Islam pula yang menjadi mangsa persepsi salah itu. Iaitu, apabila Islam turut dilihat sebagai sebuah ritual dan kepercayaan semata-mata sepertimana Kristian. Kesannya, al-Quran dan Hadis juga turut diperkecilkan fungsinya.

Fungsi utama al-Quran dan Hadis adalah sebagai panduan untuk selamat di dunia dan akhirat. Namun, apabila masyarakat dibebani dengan pengaruh Sekular, mereka hanya melihat fungsi al-Quran dan Hadis hanya sebagai alunan untuk tidurkan anak, jampi untuk lawan jin, buku cerita dan sebagainya yang saya nyatakan tadi.

Penjajah yang pernah menjajah negara Umat Islam telah meninggalkan Sekularisme dalam negara kita. Mereka bukan sekadar mengaut kekayaan daripada bumi ini, akan tetapi menanam sistem Sekularisme untuk diteruskan oleh umat Melayu. Sistem ini lama kelamaan memberi bekas dalam jiwa.

Kesan Sekularisme ialah melahirkan masyarakat yang jahil mengenai Islam. Tidak melihat Islam itu sebagai panduan hidup. Mereka membiarkan Islam itu hanya sebagai sebuah ritual atau religion. Dalam masa yang sama, ia diikat dengan sistem dan undang-undang yang berteraskan Sekularisme. 

Gambaran kejahilan yang melanda umat Islam disebabkan ideologi ini ialah tidak mampu memahami Islam itu sebagai sebuah sistem hidup, undang-undang, politik, ketenteraan dan kenegaraan. Islam itu dilihat oleh mereka hanya dari sudut ibadat, perkahwinan dan dikaitkan juga dengan beberapa elemen ketahyulan dan mistik.

FirmanNya;

‎وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا

“Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”.”

(al-Furqan: 30)

Tidak menyedari panduan al-Quran

Al-Quran sarat dengan pedoman dan panduan. Panduan berfikir, panduan beribadah, panduan mengenal kebenaran, panduan selamat di zaman fitnah dan banyak lagi. Namun, disebabkan ketebalan Sekularisme yang menyalut pemikiran umat Islam, menjadikan mereka tidak sedar bahawa al-Quran itu sebagai sebuah panduan.

Sepertimana yang saya nyatakan di awal tadi, antara panduan yang disediakan oleh al-Quran ialah menceritakan kisah-kisah golongan terdahulu. Ia adalah panduan kepada kita pada hari ini, agar tidak mengulangi kesilapan golongan terdahulu yang telah dimusnahkan itu.

Dalam al-Quran, ada kisah kesilapan mereka yang diceritakan begitu terperinci seperti kisah Bani Israel. Ada juga kisah yang diceritakan dalam beberapa ayat sahaja seperti kisah kehancuran Kerajaan Saba’. Jika kita perhatikan satu persatu kisah ini, kita akan dapati bahawa kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh mereka itu sedang diulangi oleh umat hari ini.

Contohnya;

1. Menipu dalam berniaga, atau boleh dikaitkan dengan istilah ‘scammer’. Ia diceritakan oleh Allah S.W.T mengenai kaum Nabi Syuaib A.S (Surah al A’raf ayat 85). 

2. Begitu juga kisah pengamalan Kapitalisme yang menjadi faktor keruntuhan Kerajaan Saba’ (Surah Saba’ ayat 19.)

3. Allah S.W.T menceritakan mengenai Hedonisme yang diamalkan oleh Kaum Lut (Surah al A’raf ayat 80-84). 

4. Allah S.W.T turut menceritakan kejatuhan Kaum Aad yang membina Bandar Iram (Surah al Fajr ayat 6-14)

5. Begitu juga Allah S.W.T menceritakan mengenai pembangunan material yang menjadi keutamaan Kaum Thamud (Surah al A’raf ayat 74).

6. Antara lain, Allah S.W.T menceritakan mengenai penyakit Dogmatisme (taklid buta) yang menyebabkan tersesatnya Bani Israel (Surah Yunus ayat 78). 

7. Begitu juga kisah penyembahan-penyembahan berhala atau dewa yang dilakukan oleh bangsa-bangsa terdahulu yang telah dimusnahkan.

Banyak lagi panduan-panduan yang disediakan oleh al-Quran, namun disebabkan ketebalan Sekularisme, menyebabkan al-Quran itu tidak dilihat sebagai panduan. Disebabkan itulah umat hari ini mencari pedoman daripada Barat, atau terpaksa mencuba-cuba jalan baru.

Saya bagi contoh;

1. Perlembagaan Malaysia meletakkan Islam sebagai agama rasmi. Namun, dari sudut sistem contohnya, masih wujud monopoli ala Kapitalisme di Malaysia. Masih wujud percukaian yang tidak adil. Masih wujud tol. Mahkamah Syariah masih terpisah dengan Mahkamah Sivil.

2. Walaupun di Malaysia masjid dan surau masih wujud, bahkan semakin bertambah, namun hukum jenayah tidak dilaksanakan cara Undang-undang Islam. Walaupun masih ada azan dilaungkan, namun hiburan yang melalaikan, Hedonisme dan sebagainya masih beroperasi dengan selamba-nya.

Banyak lagi yang boleh difahami secara realiti bagaimana terbekasnya Sekularisme dalam pemikiran masyarakat Malaysia hari ini. Masih ramai yang berfikir Islam itu hanya dari sudut masjid, kuliah maghrib, majlis zikir, solat jenazah, sambutan hari raya, dan sebagainya.

Kenapa dakwah para Nabi ditentang?

Antara panduan penting yang diceritakan oleh Allah S.W.T mengenai kehancuran golongan terdahulu, berkaitan dengan undang-undang dan sistem. Para Nabi A.S yang disebut kisahnya di dalam al-Quran, rata-rata terpaksa berhadapan dengan pemerintah yang zalim, atau golongan bangsawan 

Al-Quran membahasakan golongan ini dengan الملأ. Golongan pemerintah seperti ini digambarkan sebagai pembuat sistem, undang-undang, atau sekurang-kurangnya mereka yang berpengaruh. Golongan pemerintah ini difahami sebagai penggubal dasar atau sistem.

Justeru, para Nabi A.S datang membetulkan cara berfikir kaumnya. Maka, yang paling terkesan dengan seruan para Nabi ini ialah golongan الملأ. Golongan ini sangat suka sekiranya rakyat terus dalam keadaan bodoh. Rakyat yang cerdik akan menggugat kepentingan mereka. Sebab itulah golongan ini cukup terkesan.

Beberapa ayat al-Quran yang menzahirkan penentangan golongan pembesar terhadap dakwah para Nabi antaranya:

1. Surah al A’raf ayat 60, 66, 75, 88, 90, 109, 127.

2. Surah Hud ayat 27.

3. Surah al Mu’minun ayat 24, 33.

Kebimbangan terhadap dakwah para Nabi A.S kerana bukan sekadar men’cerdik’kan masyarakat, akan tetapi masyarakat yang cerdik mampu melakukan perubahan. Perubahan inilah yang tidak disukai oleh para pembesar, kerana perubahan-perubahan itu menggugat kepentingan dan kedudukan mereka.

Justeru, para pembesar akan terus memperkasakan program-program pembodohan supaya pengaruh dan kepentingan mereka terus terjamin. Kebangkitan rakyat yang membawa hujah-hujah rasional, akan dipandang mengganggu keamanan negara, menyusahkan dan sebagainya.

Kisah Nabi Nuh A.S sebagai contoh

Dakwah Nabi Nuh A.S ditentang oleh para pembesar. Imam Ibn Kathir menghuraikan Surah al A’raf ayat 59 dan 60 bahawa sejarah penyembahan berhala di zaman itu bermula dengan kematian beberapa orang soleh di kalangan mereka. 

Lalu untuk memperingati mereka, didirikan tugu peringatan yang dibentukkan dengan rupa-rupa mereka. Setelah berlalunya zaman, generasi berikutnya semakin taksub dengan peringatan itu sehingga memuja muja. Lantas mereka pun menyembahnya dan para pembesar menamakan berhala berhala dengan nama-nama orang soleh tadi.

Apabila Nabi Nuh A.S menyeru supaya menyembah Allah S.W.T, para pembesar mereka menjawab;

‎قَالَ الْمَلَأُ مِن قَوْمِهِ إِنَّا لَنَرَاكَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ

“Ketua-ketua dari kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami nampakmu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata”.”

(al-A’raf: 60)

Imam Ibnu Kathir menyatakan bahawa respon ini menggambarkan bahawa para pemimpin yang sesat itu menganggap perbuatan menyembah patung orang soleh sebagai perbuatan yang baik. Manakala seruan Nabi Nuh A.S pula dilihat jahat kerana menganggap perbuatan orang-orang yang baik itu sebagai satu bentuk kesesatan.

Kita perlu faham, bahawa para pemimpin sesat itu adalah di kalangan orang yang berpengaruh. Sayyid Qutb menyatakan di dalam Fi Zhilal Quran bahawa mereka itu mempengaruhi rakyat jelata agar merasa bangga dengan berhala-berhala yang disembah itu. 

FirmanNya:

‎وَقَالُوا لَا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا

“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.”

(Nuh: 23)

Pemimpin-pemimpin yang sesat ini telah membangunkan pelbagai berhala dengan pelbagai bentuk dan nama mengikut kecintaan rakyat-rakyat. Apa yang disukai oleh rakyat, diterjemahkan dalam bentuk berhala, agar rakyat jelata merasa kasih dengan berhala tersebut, dan bangga dengan nama-nama yang diberikan.

Maka, apabila Nabi Nuh A.S memperkenalkan seruan mengenali Tuhan yang sebenar, para pemimpin sesat tadi bimbang pengaruh yang mereka bina selama ini akan runtuh. Ini kerana, mereka sudah cukup lama mem‘bodoh’kan rakyat-rakyatnya dengan strategi-strategi yang saya nyatakan tadi.

Ideologi Barat tak patut dibanggakan 

Berdasarkan kisah Nabi Nuh A.S tadi, kita perlu faham antara tabiat pemimpin atau pembesar zaman itu adalah gilakan pengaruh. Pengaruh-pengaruh dibina dengan mem‘bodoh’kan rakyat jelata. Rakyat yang cerdik pastinya tidak terikut dengan projek pembodohan seperti ini.

Strategi pembodohan para pemerintah yang digambarkan di dalam kisah Nabi Nuh A.S tadi, ialah dengan mengemukakan nama-nama berhala. Hari ini kita boleh fahami dengan idealisme-idealisme Barat yang digambarkan bagus, sedangkan hakikatnya tidaklah begitu.

Barat sering mencanang bahawa ideologi ciptaan mereka itu terbaik. Mereka memperkenalkan istilah itu dan ini, supaya ia kelihatan indah dan dijadikan kebanggaan. Contohnya;

1. Mereka berbangga dengan Sekularisme dan Liberalisme kerana menganggap bahawa dengan ideologi ini, mereka boleh bebas dari kongkongan agama. Walhal kedua-dua ideologi ini melahirkan politikus yang jahat, dan rakyat yang menjadi liar.

2. Mereka berbangga dengan ekonomi konvensional yang dibina atas dasar Kapitalisme. Ini kerana mereka menganggap bahawa idea Barat inilah solusi bagi isu kemiskinan. Walhal, ideologi ini melahirkan penindas-penindas ekonomi.

3. Mereka berbangga dengan Empirisisme yang dikatakan boleh menghasilkan pengetahuan. Walhal pengetahuan yang terbina daripada ideologi ini mencetuskan idea penciptaan bom-bom yang akhirnya meranapkan peradaban.

Kebanggaan ini diserapkan pula ke dalam minda-minda umat Islam. Sehinggakan ada di kalangan umat Islam yang berbangga dengan solusi-solusi ekonomi konvensional, sedangkan ia berteraskan Kapitalisme. Ada umat Islam yang berbangga anaknya fasih berbahasa inggeris, sekalipun tidak tahu membaca al-Quran.

Lihatlah sejarah, apabila Kerajaan Uthmaniah sendiri menghantar anak-anak muda mereka untuk belajar di Barat, kerana menganggap Barat telah berjaya mencetuskan Revolusi Industri pada era 18. Lantas, apabila anak-anak muda itu pulang ke Turki, mereka membawa balik ideologi sekularisme. Ini kerana mereka merasakan bahawa ideologi inilah yang menjadikan dunia Barat semakin maju. 

Bukan sekadar itu, mereka turut ‘mengangkut’ fahaman Modernisme cara Barat ke dalam Dunia Islam. Menjadikan entiti Islam itu terkikis di bumi mereka sendiri. Demikianlah realiti yang terjadi dalam Dunia Islam, apabila mula terkesan dengan ideologi-ideologi Barat yang cuba digambarkan indah oleh Barat.

Sekularisme yang memandulkan akal

Sekularisme antara ideologi Barat yang memberi kesan mendalam dalam Dunia Islam. Kesan ideologi ini, Islam itu tidak dapat difahami dengan baik oleh umat Islam. Al-Quran yang sepatutnya menjadi panduan, dihuraikan secara fantasi, dan gagal difahami secara realistik.

Antara gambaran kegagalan memahami al-Quran secara realistik, apabila ada agamawan yang menceritakan penyembahan golongan terdahulu, hanya dari sudut ketahyulan mereka. Tidak memahami bahawa isu sebenarnya ialah kecelaruan cara berfikir disebabkan Dogmatisme (pembodohan) dan sebagainya. 

Mereka menganggap, isu besar golongan terdahulu adalah menyembah berhala. Manakala hari ini, penyembahan berhala ini bukanlah isu yang besar. Bahkan, menurut mereka, hari ini tiada sebarang undang-undang yang mewajibkan penyembahan berhala di dalam masyarakat. 

Lalu, mereka menghuraikan seolah-olah al-Quran itu lebih sesuai untuk golongan zaman dahulu yang sangat subur dengan pemberhalaan. Manakala zaman sekarang kisah itu seolah-olah tidak realistik lagi. Ini kerana, kefahaman mereka tidak bebas daripada sangkar Sekular.

Huraian sebegini bukan disebabkan al-Quran itu tidak realistik. Tetapi ia berpunca apabila al-Quran itu difahami dalam sangkar Sekular. Ia menyebabkan kefahaman sebenar al-Quran itu tidak dapat direalistikkan. Maka, al-Quran itu dihurai secara hikayat cerita-cerita dahulu oleh para agamawan, yang tidak berpijak pada realiti.

Untuk menghuraikan al-Quran di luar sangkar Sekular, agamawan mestilah meneliti dan mengkaji elemen-elemen Sekular. Kajian dan penelitian ini bertujuan membebaskan cara berfikir kita daripadanya. Antara pertentangan Sekular dengan Islam ialah dari sudut cara berfikir dan sistem.

Kita perlu faham, bahawa penyembahan berhala zaman dahulu bukan disebabkan ‘religion’ yang kosong. Sebaliknya ia bermula daripada Dogmatisme yang difahami sebagai pembodohan atau taklid buta. Kedua-dua ini berkaitan dengan pemandulan akal. Apabila akal itu dimandulkan, maka tersesatlah cara berfikir.

Tersesat cara berfikir inilah yang mendorong golongan terdahulu untuk mempercayai perkara-perkara karut dan tahyul. Untuk memulihkan kembali, mestilah dengan memperbaiki cara berfikir. Begitulah jugalah realiti yang terjadi pada hari ini. Isunya bukan perbuatan sembah berhala itu, akan tetapi isunya cara berfikir yang silap.

Kesilapan cara berfikir inilah yang menjadi punca kepada maksiat-maksiat yang berleluasa sejak zaman para Nabi A.S. Para Nabi A.S konsisten membetulkan cara umatnya berfikir. Boleh rujuk tulisan saya sebelum ini;

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 5/10/2021

- Advertisement -