KPM pastikan Dasar Bahasa Kebangsaan difahami semua pihak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) bertanggungjawab melaksana pelbagai usaha untuk memastikan semua pihak memahami Dasar Bahasa Kebangsaan, terutamanya bagi seluruh warga sektor pendidikan.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata KPM berperanan penting dalam memastikan bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan, selaras dengan ketetapan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

“Dalam hal ini, Pelan Hala Tuju Pendidikan Bahasa Melayu 2016-2025 dirangka dengan jelas dan terperinci, agar semua pihak dapat bersama-sama memartabatkan bahasa Melayu,” katanya ketika merasmikan sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) Sektor Pendidikan 2021 secara dalam talian, hari ini.

Mengambil contoh Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan, Radzi berkata peranan guru bahasa Melayu amat penting dalam memupuk rasa cinta dan bangga terhadap bahasa Melayu, dalam diri generasi baharu.

Beliau turut menjelaskan tanggungjawab untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, sebaliknya  ia perlu digalas oleh setiap individu dalam masyarakat termasuk warga KPM.

Beliau berkata bahasa merupakan wadah utama yang dapat mengeratkan perpaduan masyarakat dalam konteks Keluarga Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk, di mana persefahaman dan keharmonian dapat dibentuk apabila berkomunikasi menggunakan bahasa sama.

Bercakap mengenai sambutan DBK, Radzi yakin inisiatif yang dilaksanakan dalam DBK akan dapat menyemarakkan rasa cinta dan bangga terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekali gus dapat mengukuhkan perpaduan seiring dengan semangat Keluarga Malaysia.

DBK merupakan kesinambungan kepada pelaksanaan Bulan Bahasa Kebangsaan yang diperkenalkan pada 1999, dan tema tahun ini adalah ‘Bahasa Wadah Penyatuan Bangsa’. – BERNAMA

- Advertisement -