KKM sedia perkhidmatan dalam talian sokong emosi

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan Talian Bantuan Sokongan Sosial di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah untuk memberi bantuan sokongan emosi kepada rakyat yang terjejas ketika pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali, berkata talian itu diwujudkan dengan kerjasama MERCY Malaysia bagi memberi sokongan emosi kepada mereka yang memerlukan bantuan.

- Advertisement -

Selain itu, katanya terdapat talian bantuan dari agensi lain seperti Talian Kasih (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) serta Talian Keluarga, Sosial dan Komuniti (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

“Sejak diperkenalkan, sebanyak 223,990 panggilan diterima dengan 80.8 peratus pemanggil memerlukan sokongan emosi dan kaunseling berkaitan pelbagai isu.

“Ini termasuk hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan, konflik keluarga, masalah hubungan interpersonal, stigma terhadap jangkitan, isolasi serta kurang akses kepada perkhidmatan bantuan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff dari PAS yang meminta kerajaan menyatakan tindakan bagi menangani isu kesihatan mental rakyat yang berdepan pandemik Covid-19 di Dewan Negara, hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, mengambil kira kesan pandemik terhadap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat, kementerian turut melaksanakan penambahbaikan melalui inisiatif menambah pegawai psikologi kaunseling, Oktober tahun lalu.

“Penambahan 200 pegawai psikologi kaunseling adalah secara kontrak dan ditempatkan di peringkat daerah dan klinik kesihatan bagi memberikan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial di 1,191 klinik kesihatan seluruh negara,” katanya.

Katanya, kementerian turut memperkukuhkan program promosi dan pencegahan kesihatan mental di peringkat primer, termasuk perkhidmatan saringan, intervensi dan rawatan kesihatan mental bagi meningkatkan pengesanan awal individu yang mengalami masalah tersebut.

Dr Noor Azmi berkata, kementerian turut mengadakan sesi libat urus bagi menangani isu kesihatan mental secara bersepadu yang dilaksanakan secara bersama dengan pelbagai kementerian dan agensi. – HARAKAHDAILY 5/10/21

- Advertisement -