Kerajaan tidak pernah pinggir institusi pendidikan Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dan negeri tidak pernah mengambil pendekatan lepas tangan atau meminggirkan institusi pendidikan Islam termasuk pondok, tahfiz dan sekolah agama.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Dato’ Abdul Aziz Jusoh berkata, tahun ini kerajaan Persekutuan melalui JAKIM menyalurkan bantuan berjumlah RM60 juta kepada 1,066 institusi tersebut sehingga Ogos lepas.

Selain itu, katanya sebanyak RM244,400 disumbang melalui Tabung Musaadah Covid-19 JAKIM-YWM.

“JAKIM juga sedang berusaha dengan pelbagai cara bagi membantu institusi pendidikan Islam agar dapat melangsungkan operasi demi anak bangsa.

“JAKIM menaruh harapan dan keyakinan tinggi kerajaan akan memberi perhatian sewajarnya terhadap semua pihak dan tidak mungkin akan meminggirkan mana-mana pihak selaras dengan slogan ‘Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera’,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini ada pihak mendakwa kerajaan meminggirkan institusi pendidikan Islam yang berada di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pendidikan dan Pelajaran Agama Islam (LEPAI) sepanjang pandemik Covid-19.

Bagaimanapun Abdul Aziz berkata, tidak dinafikan terdapat beberapa institusi pendidikan Islam menghadapi kesulitan meneruskan operasi atas pelbagai sebab antaranya kekangan kos pengurusan.

Namun katanya sejak awal penularan pandemik Covid-19 awal 2020, JAKIM berkerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia berusaha mencari jalan menjaga keselamatan warga institusi pendidikan Islam di bawah LEPAI.

Antaranya kerajaan mengambil langkah segera melaksanakan saringan bagi mengesan dan menyekat penularan Covid-19 dalam kalangan warga institusi tersebut.

Kerajaan juga kaatanya mengambil tanggungjawab menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memudahkan rujukan dan panduan oleh institusi yang dijangkati Covid-19.

“Susulan peningkatan kes Covid-19 yang semakin ketara dan membimbangkan, kerajaan mengambil langkah drastik yang perlu dan utama demi menyelamatkan nyawa warga institusi pendidikan Islam.

“Kerajaan juga menyedari pentingnya pendidikan kepada murid dan pelajar di institusi tersebut dapat diteruskan,” ujarnya.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan JAKIM turut menerbitkan garis panduan pengurusan pengoperasian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain dan Sekolah Agama dalam normal baharu sebagai rujukan kepada institusi pendidikan Islam untuk beroperasi.

Menurutnya juga JAKIM amat berharap mendapat sokongan dan dukungan daripada semua pihak khususnya warga institusi pendidikan Islam. – HARAKAHDAILY 5/10/2021

- Advertisement -