MP PAS bangkitkan isu nasional dan rakyat

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) 2021-2025 mempunyai kisah menarik kerana sepatutnya dibentangkan di Parlimen pada Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia menyebabkan kebanyakan negara berdepan pelbagai masalah bukan sahaja dari segi kesihatan, malah ekonomi.

Sebagai sebuah negara yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa, Malaysia turut menerima kesan buruk apabila pelbagai langkah untuk mengawal penularan Covid-19 seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pelbagai sektor ekonomi menerima tempias.

- Advertisement -

Sebahagian rakyat kehilangan pekerjaan dan penurunan jumlah pendapatan menyebabkan perancangan lima tahun negara terpaksa dikaji semula.

Pembentangan RMK-12 yang diputuskan pada Januari tahun ini ditunda hingga akhirnya menjadi kenyataan apabila dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Isnin lalu.

Jika RMK-11 disifatkan sebagai peringkat terakhir dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, kehadiran Covid-19 mengubah segala-galanya.

Pengaruh pandemik Covid-19 terdapat dalam RMK-12 dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM400 bilion, dirancang untuk mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang.

Sidang Dewan Rakyat diteruskan pada Selasa, Rabu dan Khamis lalu dengan sesi perbahasan terhadap rancangan lima tahun itu. Ahli Parlimen PAS turut memberikan pandangan dan cadangan bagi menjadikan RMK-12, benar-benar bermanfaat kepada negara dan rakyat.

Antara Ahli Parlimen PAS yang berbahas ialah Sabri Azit (Jerai), Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai), Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik), Shaharizukirnain Abd Kadir (Setiu), Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (Tumpat), Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus) dan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas).

Pelbagai perkara dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PAS, sama ada yang bersifat pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing, mahu pun berstatuskan nasional dan yang berteraskan perjuangan parti seperti menentang aktiviti perjudian.

Ahmad Fadhli lantang membangkitkan keputusan Kementerian Kewangan meluluskan pertambahan cabutan khas judi daripada 8 kali setahun kepada 22 kali setahun.

Beliau menyifatkan kepuitusan itu sebagai satu langkah ke belakang walaupun antara alasan yang diberikan ialah untuk menambah pendapatan negara.

“Walaupun ada hujah mengatakan bahawa pendapatan daripada judi ini hanya digunakan untuk kegunaan tertentu, saya tetap berpendirian bahawa judi tidak boleh dinaikkan kadar cabutan,” katanya.

Dr Mohd Khairuddin pula prihatin terhadap kesempatan hidup rakyat yang tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menghadapi kesan negatif Covid-19 akibat kehilangan pekerjaan, perniagaan merudum atau jika masih ada pendapatan, berkurangan dengan drastik.

Beliau mencadangkan Tabung Haji dijadikan mekanisme tabungan rakyat yang antara kegunaannya ialah digunakan ketika krisis seperti pandemik Covid-19.

Katanya, rakyat tidak boleh bergantung kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sepatutnya hanya digunakan apabila bersara atau ketika waktu tua.

Isu kesusahan rakyat mendapat perhatian Shaharizukirnain yang mahu kerajaan menjelaskan secara terperinci pelan tindakan yang akan diambil dalam tempoh lima tahun ini bagi memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat.

Ini kerana Covid-19 bukan hanya memberi kesan terhadap golongan B40, malah sesetengah golongan M40 tergelincir menjadi B40 apabila pendapatan mereka terjejas teruk.

Beliau berkata, keadaan ini membimbangkan kerana hampir 20 peratus daripada 580,000 isi rumah golongan M40 tergelincir ke dalam golongan B40.

Che Abdullah membangkitkan isu tempatan bertaraf nasional, iaitu perubahan penjajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menyebabkan Stesen Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor di Parlimennya dikeluarkan dari projek penting itu.

Katanya, dua stesen itu menjadi mangsa kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa berjaya menurunkan kos pelaksanaan ECRL, tetapi sebenarnya dilakukan dengan mengurangkan stesen ECRL dan memendekkan landasan.

Beliau meminta kerajaan sekarang mempertimbangkan semula memasukkan Stesen Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor dalam ECRL seperti jajaran asal projek itu.

Sabri pula membangkitkan isu nasional dengan antara topik perbahasannya ialah berhubung integriti di kalangan kakitangan kerajaan, terutama penguatkuasa.

Beliau mahu kerajaan tegas menangani isu integriti dan mendedahkan punca segelintir kakitangan berkenaan terbabit dalam amalan rasuah.

Begitu juga dengan penubuhan beberapa agensi kerajaan untuk menangani isu integriti dan rasuah seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC).

Beliau mahu penubuhan dua agensi berkenaan yang sudah tentu membabitkan wang rakyat benar-benar memberi kesan dan menepati matlamat penubuhannya.

Ahmad Tarmizi yang Parlimennya terletak di luar bandar, membangkitkan topik yang relevan, iaitu memperkukuhkan perindustrian dan pengeluaran makanan melalui pelbagai pendekatan seperti Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) dan pengeluaran padi berskala besar.

Namun beliau juga peka dengan isu nasional melalui topik memperkukuhkan keselamatan, kesejahteraan dan inklusif negara, membabitkan aset pertahanan negara dan ancaman kuasa asing di Laut China Selatan

Kuala Krai pula menghangatkan suasana Dewan Rakyat apabila meminta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menarik balik kenyataan yang mendakwa kerajaan menggunakan RM2 bilion untuk membayar konsultan luar bagi menyiapkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Katanya, dakwaan Anwar telah menyinggung perasaan dan merendahkan pegawai kakitangan awam, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) yang bertungkus lumus menyiapkan RMK-12.

Perbahasan RMK-12 akan bersambung Isnin ini dan masih ada Ahli Parlimen PAS belum berbahas, sekali gus berkesempatan untuk terus membangkitkan agenda parti, rakyat dan negara untuk didengari oleh kerajaan dan rakyat.

Prestasi Ahli Parlimen PAS yang berdisiplin berbahas perlu diteruskan supaya akhirnya rakyat akan mendapat manfaat kerana RMK-12 amat penting untuk menentukan hala tuju negara dalam tempoh lima tahun ini. – HARAKAHDAILY 1/10/21

- Advertisement -