Kementerian Wilayah lahir usahawan komuniti B40

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan berusaha melahirkan lebih ramai usahawan komuniti daripada kumpulan B40 di Wilayah Persekutuan.

Menterinya Dato’ Seri Shahidan Kassim berkata, usaha itu dilaksanakan melalui program Usahawan Kreatif di Wilayah Persekutuan dalam kalangan penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA).

- Advertisement -

Katanya program itu melibatkan 50 usahawan, di mana mereka berjaya menjana pendapatan tambahan sehingga RM2,000 melalui hasil jualan barangan kreatif buatan sendiri.

“Inisiatif tersebut dianjurkan Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia.

“Ia menyasarkan golongan belia, ibu tunggal, suri rumah sepenuh masa serta golongan B40 yang berpotensi mengembangkan daya kreativiti untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan mereka,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya semalam.

Shahidan juga berkata, setiap peserta program itu akan diberi latihan jahitan seni kreatif yang komprehensif serta bantuan kit permulaan perniagaan seperti mesin jahit dan bahan-bahan berkaitan.

Sementara itu pada perkembangan lain katanya penjaja-penjaja di sekitar Pekan Sungai Besi, yang terlibat dengan pengindahan dan pelebaran jalan akan ditempatkan semula di Pusat Penjaja Pekan Sungai Besi @ D’Laman Rasa.

Kata beliau DBKL membangunkan pusat tersebut yang mempunyai 64 gerai lengkap dengan kemudahan ‘kitchen hood’, akan beroperasi bulan ini.

Menurutnya bayaran sewa gerai dikecualikan sehingga Disember depan, manakala fi-lesen pula dikurangkan sebanyak 50 peratus.

“Para penjaja diingatkan supaya mematuhi syarat yang ditetapkan dalam lesen perniagaan setiap masa.

“Saya berharap premis yang baru dibangunkan terbabit dapat dimanfaatkan semua pihak,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 1/10/2021

- Advertisement -