Cadangan kerajaan DAP bina jambatan ketiga idea terdesak

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Pelbagai pihak di Pulau Pinang melihat cadangan kerajaan negeri yang diketuai DAP mahu membina jambatan ketiga sebagai idea terdesak selepas projek terowong dasar laut hampir tidak menjadi kenyataan.

Malah projek terowong mengheret bekas ketua menteri Lim Guan Eng ke mahkamah atas dakwaan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut.

Dua bidang tanah milik kerajaan negeri sebelum ini didedah di mahkamah digunakan sebagai pembayaran bagi projek melibatkan tiga jalan utama dan projek terowong dasar laut.

- Advertisement -

Pada kes prosiding itu sebelum ini bekas anggota Exco Dato’ Lim Hock Seng memberitahu pembayaran bagi kos kebolehlaksanaan dan kos reka bentuk terperinci bagi empat projek berkenaan berjumlah RM305 juta.

Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas), Zikrullah Ismail berkata, kerajaan negeri dianggap menghadapi masalah pengurusan projek yang parah sehingga tiba-tiba idea mahu membina jambatan ketiga.

Katanya, mereka dilihat mengalami defisit kompetensi dan integriti yang jelas dalam mengurus projek pembangunan.

“Proses ke arah pelaksanaan projek jambatan ketiga tentunya melibatkan pelbagai sesi libat urus meliputi kajian kebolehlaksanaan dan perubahan rancangan struktur negeri.

“Selain itu juga perlu melalui proses untuk mendapatkan kelulusan Majlis Perancangan Fisikal Negara terlebih dahulu sebelum meneruskan projek tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dilapor berkata, tidak menolak kemungkinan akan membina jambatan ketiga bagi menghubungkan bahagian pulau dengan tanah besar sebagai menggantikan terowong dasar laut.

Menurut Zikrullah juga sebagai NGO alam sekitar pihaknya sentiasa konsisten menyokong pembangunan yang mampan merangkumi aspek keadilan sosial, kelestarian alam sekitar dan kemakmuran ekonomi.

“Pada hemat saya projek terowong, jambatan ketiga dan projek tambakan laut di selatan Pulan Pinang (PSR) tidak termasuk dalam kategori tersebut,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk Pulau Pinang Hazwani Abd Hamid, 36 berkata ramai penduduk tidak berpuas hati dengan projek tambak laut yang dilaksanakan kerajaan negeri kerana ia menjejas lokasi pelancongan.

“Jika dahulu banyak kawasan tepi pantai menjadi tumpuan pelancong tetapi sekarang sudah menjadi kawasan berpagar yang bermula sejak pentadbiran Guan Eng lagi,” ujarnya.

Menurutnya juga keperluan jambatan ketiga dianggap bukan mendesak memandangkan di negeri itu sudah mempunyai dua jambatan iaitu Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. – HARAKAHDAILY 1/10/2021

- Advertisement -