PJJ: Badan Bertindak desak dekan nyata pendirian

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Badan Bertindak Pelajar (BBP) PJJUSM mendesak Dekan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) Universiti Sains Malaysia (USM) menyatakan pendirian terhadap polemik cadangan pembubaran pusat pengajian tersebut.

BBP #SavePJJUSM berkata, pihaknya menuntut penjelasan Dekan PJJ secara rasmi bagi menghilangkan kerisauan pelajar berikutan program pengajian akan bermula dalam beberapa minggu lagi.

- Advertisement -

Katanya, badan itu memandang serius pandangan mantan Dekan PJJ tindakan penstrukturan semula (decentralise) sekadar menjadi Pusat Perkhidmatan (Service Centre) Pengajian, sebagai tindakan undur ke belakang dan merugikan PJJ.

“Kami berpandangan sesi libat urus bersama pensyarah dan pelajar perlu dibuat segera secara telus bagi merungkai keresahan semua pihak.

“Kami berpendapat tindakan terus membisu pihak Dekan PJJ boleh menjejaskan kredibiliti institusi dan profesionalisme,” katanya pada kenyataan hari ini.

Baru-baru ini Harakahdaily.net mendedahkan cadangan pengurusan USM dikatakan akan membubarkan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh universiti tersebut, namun dibantah pelbagai pihak.

Malah ada alumni menaikkan ‘#prayforpppjjusm’ sebagai gerakan di maya membantah cadangan terbabit.

Menurut gerakan tersebut alasan yang dikemukakan PPPJJ USM tidak menjana ‘keuntungan’ yang tinggi turut dipertikaikan.

Mereka mengajak pelajar, graduan atau Alumni USM membantah cadangan tersebut kerana PJJ USM sudah berusia 50 tahun, membawa agenda nasional.

“PJJ USM membantu pelajar kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Isu tersebut turut menarik perhatian mantan Pengarah Pusat Pengajian Luar Kampus (PPLK) USM Prof Qasim Ahmad. – HARAKAHDAILY 29/9/2021

- Advertisement -