Boleh guna buku catatan di kawasan internet bermasalah

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih bergantung kepada rekod buku catatan pengunjung di sesetengah premis yang terletak di kawasan capaian internet yang bagus.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata merekodkan butiran ringkas sebelum memasuki premis merupakan antara prosedur operasi standard (SOP) awal yang diwajibkan kerajaan kepada pengunjung premis pada awal pandemik Covid-19.

Katanya, tujuan utama SOP tersebut diwajibkan adalah untuk membantu aktiviti pengesanan kontak jika terdapat kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pengunjung.

- Advertisement -

“Ketika itu, apabila pengunjung merekodkan maklumat yang betul dan jelas dalam buku catatan tersebut, ini akan membantu pasukan yang menjalankan tugas untuk mengesan kontak terbabit.

“Bagaimanapun, apabila MySejahtera dilancarkan pada April tahun lalu, aplikasi ini telah membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengesan kes positif Covid-19,” katanya menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Latiff meminta KKM menjelaskan sejauh mana keberkesanan maklumat pelanggan yang menulis di buku catatan tanpa menggunakan imbas MySejahtera yang disediakan di premis dalam mengesan kontak rapat dan keberkesanan alat penyukat suhu.

Dr Noor Azmi berkata, kebanyakan pengunjung kini lebih selesa menggunakan MySejahtera, berbanding menulis dalam buku catatan.

Malah, katanya penggunaan aplikasi MySejahtera untuk merekod kehadiran, diwajibkan di kawasan yang mempunyai liputan internet meluas sejak Januari lalu.

“Sehingga kini, KKM tidak melaksanakan kajian khusus bagi mengkaji keberkesanan penggunaan buku catatan tersebut berbanding fungsi MySejahtera.

“Namun, KKM masih bergantung kepada maklumat yang direkodkan dalam buku catatan bagi mengesan kontak rapat kes Covid-19 di kawasan yang tidak mempunyai capaian internet yang bagus dan membantu pengunjung yang tidak mempunyai telefon pintar,” katanya.

Abdul Latiff meminta KKM menjelaskan sejauh mana keberkesanan maklumat pelanggan yang menulis di buku catatan tanpa menggunakan imbas QR code yang disediakan di premis-premis dalam mengesan kontak rapat dan keberkesanan alat penyukat suhu. – HARAKAHDAILY 28/9/2021

- Advertisement -