PAS Pahang sumbang RM42,400 buat mangsa tragedi di Kedah

- Advertisement -

KUANTAN: PAS Negeri Pahang telah menghantar sumbangan buat mangsa tragedi kepala air Gunung Jerai melalui PAS Negeri Kedah menerusi satu serahan di Pejabat PAS Kawasan Jerai, Yan, Kedah kelmarin.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar menyerahkan sumbangan wang tunai RM42,400 kepada Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ustaz Ahmad Yahaya disaksikan wakil daripada kedua-dua belah pihak yang hadir.

Ustaz Rosli yang diiringi Ahli Jawatankuasa Perhubungan PAS Pahang, Wan Mahadir Wan Mahmud dan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan, Ustaz Mohd Fadhil Noor Abdul Karim turut diberi taklimat di situ.

“Keadaan tragedi yang berlaku di sini sangat menyayatkan hati, menyedihkan dan memberi impak psikologi sangat berat kepada ribuan mangsa terlibat.

“Tragedi ini turut mengorbankan enam mangsa dan sama-samalah kita doakan agar semua mangsa musibah ini tabah dan bersabar dengan ujian berat yang menimpa,” ujar Ustaz Rosli.

Kutipan Tabung Bencana Kepala Air Gunung Jerai oleh PAS Pahang ini dimaklumkan masih berlangsung dan pihak PAS Pahang akan membuat serahan kali kedua dalam masa terdekat tidak lama lagi.

Menurut Senator Ustaz Ahmad, seawal Kedah ditimpa tragedi tersebut, Pesuruhjaya PAS Pahang adalah orang pertama menghubungi beliau menyatakan keprihatinan dan kesediaan membantu.

Wakil PAS Kedah yang hadir sama adalah Timbalan Pesuruhjaya, Ustaz Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi dan Setiausaha, Ustaz Musoddak Ahmad serta Ketua Penerangan, Ustaz Mohd Azam Abd Samat. – HARAKAHDAILY 8/9/2021

- Advertisement -